Hak rakyat buat flashmob harga barang naik
Kerajaan BN – PN tidak seharusnya menekan penganjuran flashmob kerana aksi menaikkan sepanduk di tepi jalan itu merupakan hak rakyat dalam menzahirkan ketidakpuasan hati menghadapi siri kenaikan harga barnag.
Aktivis KEADILAN Temerloh, Ahmad Nizam Hamid berkata demikian selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh pagi tadi susulan flashmob yang mereka sertai pada 2 Julai lalu.
“Saya bersama YB Woo Chee Wan dan Rosli Ismail telah hadir ke IPD Temerloh bagi memberikan keterangan berkaitan program flashmob protes harga barang yang telah diadakan di Bandar Mentakab pada hari Sabtu, 2 Julai lalu
“Kami menegaskan menjadi hak dan kewajiban rakyat untuk menzahirkan ketidakpuasan hati di atas kegagalan kerajaan hari ini mengawal kenaikkan harga barang
“Di atas premis ini kami tidak akan sesekali berhenti dari memperjuangkan kepentingan rakyat terbanyak,” katanya .
Menurut Nizam lagi, anggota KEADILAN dan rakyat terbanyak akan terus menganjurkan flashmob kerana aksi itu adalah yang paling ringan dalam menyatakan rasa tidak senang terhadap sikap lepas tangan pemerintah.
“Kami mengingatkan bahawa flashmob adalah kaedah unjukrasa yang paling lunak dan lembut.
“Sekiranya unjukrasa seperti ini dihalang maka kami tidak dapat menolak kemungkinan demontrasi secara menyeluruh akan diadakan di seluruh negara untuk rakyat menzahirkan suara hati mereka,” kata Nizam.
Peguam senior itu bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada pegawai-pegawai polis IPD Temerloh yang telah melayani mereka dengan baik dan menjalankan tugas secara profesional.