Dari Rafizi Ramli
18 Julai 2022
TUNTUTAN ASET WARIS SULU:
LAPORAN POLIS SELURUH NEGARA TERHADAP NAJIB
Minggu lalu, saya telah menunjukkan bahawa masalah yang diwarisi
oleh tiga Kerajaan Persekutuan berturut-turut mengenai tuntutan waris
Kesultanan Sulu sebenarnya bermula di zaman pentadbiran Dato’ Seri Najib Tun Razak
sebagai Perdana Menteri.
Apabila negara mula mengetahui mengenai tuntutan waris
Kesultanan Sulu yang melibatkan aset PETRONAS bernilai sekitar RM9 bilion
baru-baru ini, Najib cepat-cepat cuba mengalihkan fokus rakyat dengan menuding
jari kepada pentadbiran-pentadbiran selepas beliau, sedangkan kertas timbang
tara secara jelas menunjukkan fakta notis tuntutan itu telah disampaikan kepada
pentadbiran beliau bertarikh 2 November 2017. Tuntutan itu juga bermula selepas
pentadbiran beliau menghentikan bayaran kepada waris Kesultanan Sulu sejak 2013
lagi.
Oleh itu, saya berpendapat wajarlah Najib turut mengambil
tanggungjawab atas kegagalan dan kecuaiannya semasa menjadi Perdana Menteri di
antara 2013 hingga 2017 yang membawa kepada tuntutan waris Kesultanan Sulu yang
kini dibebankan kepada setiap pentadbiran Kerajaan Persekutuan selepas beliau.
Undang-undang memperuntukkan bahawa rakyat boleh mengambil
tindakan undang-undang, sama ada di bawah Kanun Jenayah (“Penal Code”) atau
tindakan saman sivil, terhadap mana-mana penjawat awam yang telah cuai dalam
menjalankan tugas awam. Dalam kes ini, kecuaian Najib semasa menjadi Perdana
Menteri telah mendedahkan negara kepada tuntutan aset sebanyak RM67.5 bilion.
Dengan ini, saya telah meminta cabang-cabang dan pimpinan
KEADILAN seluruh negara untuk membuat laporan polis terhadap kecuaian Najib
semasa menjadi Perdana Menteri sehingga membawa kepada tuntutan waris Sulu.
Saya juga memanjangkan jemputan kepada aktivis akar umbi AMANAH dan DAP di
seluruh negara untuk bersama-sama dengan KEADILAN menyertai siri laporan polis.
Maklumat dan panduan mengenai laporan polis adalah seperti
berikut:
Tarikh:
Selasa, 19 Julai 2022
(hari Selasa dipilih untuk mengingatkan Najib janjinya untuk
menyaman Wall Street Journal mengenai skandal 1MDB pada hari Selasa, tetapi
tidak pernah berlaku)
Tempat:
Balai Polis di seluruh negara
Penyertaan:
Pimpinan KEADILAN semua peringkat di seluruh negara
Draf laporan polis:
“.. Saya, (nama) __________________, No. Kad Pengenalan (IC)
____________, seorang rakyat Malaysia dan pemimpin KEADILAN, ingin membuat
laporan polis mengenai kecuaian bekas Perdana Menteri ke-6, Dato’ Seri Najib
Tun Razak yang telah menyebabkan negara berdepan dengan tuntutan berjumlah
sekitar RM67.5 bilion dari waris Kesultanan Sulu.
Tuntutan ini bermula ekoran keputusan pentadbiran Dato’ Seri
Najib untuk menghentikan bayaran tahunan kepada waris Kesultanan Sulu (seperti
kehendak perjanjian) dalam tahun 2013. Sepatutnya, sekiranya beliau tidak cuai
dalam menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri, beliau telah memastikan semua
langkah diambil untuk menghalang dan menangani tindakan undang-undang susulan
setelah bayaran itu dihentikan.
Keputusan itu mencetuskan langkah balas waris Kesultanan Sulu
yang memulakan tindakan saman di peringkat antarabangsa terhadap Kerajaan
Malaysia.
Notis tindakan saman yang diambil telah dihantar kepada
pentadbiran beliau pada 2 November 2017 semasa Dato’ Seri Najib masih menjadi
Perdana Menteri.
Sebagai rakyat Malaysia, saya meminta supaya pihak berkuasa
menyiasat Dato’ Seri Najib di bawah peruntukan Kanun Jenayah sedia ada (Akta
574) dan peraturan-peraturan yang mengikat seorang penjawat awam semasa dalam
perkhidmatan, seperti Perkara 132 (Perkhidmatan-Perkhidmatan Awam) dan
Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 di bawah
Perlembagaan Persekutuan (P.U.A. 395) untuk menentukan unsur-unsur kecuaian
yang dilakukan Dato’ Seri Najib dalam menangani isu ini.
Saya berharap laporan ini membolehkan kertas siasatan dibuka
untuk memastikan penjawat awam menjalankan tugas dengan penuh ketelitian dan
tanpa kecuaian yang boleh merugikan rakyat dan negara.
Saya membuat laporan ini demi menjalankan tanggungjawab sivik saya
sebagai seorang rakyat.....”
Saya sendiri akan membuat laporan polis di Balai Polis
Setiawangsa bersama-sama YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Parlimen Setiawangsa jam
11 pagi esok, Selasa 19 Julai 2022.
Selepas membuat laporan polis, saya galakkan semua yang terlibat
membuat kenyataan media, menyebarkan berita dan menghantar berita/visual ke
media sosial untuk mendidik rakyat mengenai kesan kecuaian penjawat awam di
peringkat tertinggi kepada rakyat.
RAFIZI RAMLI