Bolehkah pencuri tawar wang elak dibicarakan?
Laporan mengenai Keputusan Peguam Negara Malaysia, Tan Sri Idrus Harun dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membatalkan siri perundingan dengan peguam Low Taek Jho (Jho Low), diaturkan oleh bekas Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali mengejutkan rakyat Malaysia.
Bagi Ahli Parlimen Pasir Gudang yang juga seorang peguam, Hassan Abdul Karim, tindakan Peguam Negara membatalkan rundingan tersebut adalah sesuatu yang betul, namun masih timbul persoalan apakah rundingan wajar dilakukan untuk mengelakkan Jho Low dibicarakan.
“Mana boleh berlaku tawar-menawar antara si penjenayah Jho Low dengan kerajaan Malaysia?
“Adakah sistem keadilan Malaysia boleh dijual beli dengan tawaran RM1.5 bilion dari Jho Low?
“Adakah Jho Low kini cuba merasuah kerajaan Malaysia?
“Adakah pada pandangan Jho Low Jabatan Peguam Negara dan badan Kehakiman Malaysia bersekongkol dengan penjenayah sepertinya, dan boleh diajak berunding tawar menawar untuk menggugurkan pertuduhan jika ada harga yang sesuai boleh dibayar?
“Syabas kepada Peguam Negara sekarang dan pegawai dari SPRM serta pegawai-pegawai Jabatan Peguam Negara yang mengambil pendirian betul menolak tawaran Jho Low yang biadap itu,” kata Hassan dalam satu kenyataan.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) SPRM, sebaliknya menyarankan agar Jho Low kembali ke Malaysia dan diadili secara saksama sekiranya beliau mempunyai maruah dan yakin dirinya tidak bersalah.
Bagaimanapun, Hassan tertanya tanya adalah sikap yang betul bekas Peguam Negara Apandi Ali terlibat sebagai perantara di antara Jho Low dan kerajaan Malaysia.
“Dengan tindakan Jho Low melantik firma guaman Kobre & Kin berpejabat di Washington dan seterusnya firma guaman dari Amerika Syarikat itu melantik pula Mohamed Apandi Ali, bekas Peguam Negara sebagai orang perantaraan perundingan dengan kerajaan Malaysia, maka tindakan Jho Low adalah satu pengakuan dia berbuat kesalahan jenayah menipu syarikat 1MDB dan Kerajaan Malaysia.
“Jika dia tidak berbuat salah mengapa Jho Low menawarkan sehingga RM1.5 bilion sebagai balasan semua pertuduhan ke atasnya di mahkamah Malaysia digugurkan?
“Sedihnya mengapa pula bekas Peguam Negara, Mohamaed Apandi Ali tergamak jadi orang perantaraan antara Jho Low dengan pihak Kerajaan Malaysia?
“Adakah betul dari segi undang-undang jenayah di negara ini pertuduhan kesalahan jenayah boleh digugurkan jika ada bayaran wang dibuat, apatah lagi jika bayarannya sebesar RM1.5 bilion,” katanya.
Justeru Hassan berkata, kes Jho Low sepatutnya tidak dikompromikan sejak dari awal kerana penjenayah itu menyebabkan kerajaan Malaysia kerugian RM50 bilion dengan penipuannya.
Tegas beliau, perundingan seperti itu hanya akan menjatuhkan martabat penguatkuasaan undang undang Malaysia dan sepatutnya ditolak pada peringkat awal tanpa mengadakan beberapa siri pertemuan sebagaimana dilaporkan.