TOK MAT DAN NAJIB – CUBA CERITA HAL SEBENAR TENTANG GERAKAN UNDURKAN ZAHID HAMIDI?


Antara perkara yang didedahkan oleh bekas ahli MT yang dipecat, Tajuddin Abdul Rahman dalam sidang medianya semalam ialah tentang gerakan pemimpin kanan UMNO yang pernah dilakukan pada tahun 2020 untuk memaksa Zahid Hamidi berundur daripada terus memimpin parti.

Katanya, antara pemimpin kanan yang terlibat dalam gerakan itu ialah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan, bekas Perdana Menteri, Najib Razak dan Naib Presiden UMNO, Khaled Nordin.

Bagaimanapun kata Ahli Parlimen Pasir Salak itu, gerakan tersebut gagal kerana Mohamad Najib telah belot di saat-saat akhir.

Tambah beliau, Mohamad atau Tok Mat belot kerana digertak oleh pegawai kanan Zahid Hamidi.

Namun, Tajuddin tidak menghuraikan sebab mengapa Najib juga belot daripada gerakan tersebut.

“Ketuanya siapa? Tok Mat (Mohamad) dan Bossku (Najib).

“Mereka suruh turun buat tinjauan, berapa ramai Ketua UMNO Bahagian yang setuju. Kalau saya tak silap ada 130 bahagian (di seluruh negara) yang setuju.

“Tok Mat setuju, Bossku setuju. Kenapa tak jadi? Sebab Tok Mat sebagai ketua dengan Bossku belot,” tegas Tajuddin lagi.

Sebagai bukti wujudnya gerakan tersebut, Tajuddin turut menunjukkan sekeping gambar pertemuan pemimpin-pemimpin kanan UMNO itu yang dirakam lebih dua tahun yang lalu.

Petang tadi, Zahid Hamidi ketika ditanya mengenai gerakan itu berkata, beliau tidak tahu menahu mengenainya.

“Saya tidak mengetahuinya.

“Kalau ada sesiapa yang tidak berpuas hati dengan kedudukan saya sebagai presiden parti, mereka mesti ikut saluran yang betul,” kata beliau.

Begitu pun, berdasarkan pendedahan Tajuddin itu, satu perkara yang nyata ialah Tok Mat dan Najib pasti tahu mengenai gerakan tersebut.

Kalau tidak, mana mungkin Tajuddin berani menyebut nama mereka.

Sehingga ini pun, setelah lebih 24 jam berlalu setelah pendedahan Tajuddin itu, kedua-dua pemimpin berkenaan belum lagi mengeluarkan apa-apa kenyataan berkenaan dengannya.

Jadi, sekarang bolehkah Tok Mat dan Najib segera memberitahu semua ahli UMNO sama ada benar atau tidak wujud gerakan tersebut?

Apakah sebabnya mereka pada mulanya setuju terlibat dalam gerakan untuk menekan Zahid Hamidi berundur sebagai Presiden UMNO?

Dan mengapa pula mereka kemudian jadi belot?

Apakah perkara yang pegawai kanan Zahid Hamidi gertak kepada Tok Mat sehingga beliau jadi layu, seterusnya setuju untuk belot?

Kepada Najib, apakah sebabnya beliau juga belot setelah setuju pada peringkat awalnya untuk menekan pengunduran Zahid Hamidi?

Lebih menghairankan, mengapa setelah belot, Tok Mat dan Najib sehingga sekarang jadi begitu kuat mempertahankan Zahid Hamidi?

Adakah apa-apa rahsia mengenai kedua-dua pemimpin itu yang disimpan oleh Zahid Hamidi?

Tok Mat dan Najib – tolong munculkan diri dan cerita segala-galanya kepada semua ahli-ahli UMNO? – ShahbudinHusin 28/06/2022.



No comments: