1 Jun 2022
SAMAN SHAHRIL SHAMSUDDIN:
AYUH KE MAHKAMAH
Saya telah menerima writ saman dari Tan Sri Shahril Shamsuddin,
bekas Ketua Pegawai Eksekutif/Pengarah Urusan Sapura Energy Berhad (SEB)
sekitar jam 1130 malam semasa saya dalam satu majlis di Kuantan pada 11 Mei
2022.
Writ itu adalah untuk mengesahkan bahawa Tetuan Zul Rafique
& Partners, peguam kepada Shahril Shamsuddin telah memfailkan saman
terhadap saya di mahkamah berhubung kenyataan-kenyataan saya ekoran desakan
Dato’ Seri Najib Tun Razak agar kerajaan menyuntik wang untuk menyelamatkan
SEB.
Saya telah mengambil pendirian untuk mempertahankan
kenyataan-kenyataan saya di mahkamah kerana kenyataan-kenyataan tersebut adalah
untuk melindungi kepentingan awam.
Sejak 2010, saya telah melalui 14 kes di mahkamah (dari Mahkamah
Sesyen hingga ke Mahkamah Persekutuan) demi mempertahankan wang rakyat.
Sebahagian besar dari kes-kes itu bersabit skandal kewangan besar negara
seperti National Feedlot Corporation (NFC), 1MDB, Majlis Amanah Rakyat, Tabung
Haji dan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT).
Setakat ini, saya menang kesemua kes saman yang dibawa terhadap
saya di mahkamah. Dalam proses mahkamah itu, rakyat dapat menilai sendiri
butiran terperinci yang menjadi latar belakang setiap skandal kewangan
tersebut.
Saya akan diwakili oleh pasukan peguam yang diketuai oleh Ranjit
Singh dari Tetuan Ranjit Singh & Yeoh. Beliau adalah peguam yang mewakili
saya selama 11 tahun sepanjang perbicaraan kes NFC dari 2011 hingga ke
keputusan akhir Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada kami baru-baru ini.
Perbicaraan kes saman Shahril Shamsuddin adalah titik mula yang
penting dalam usaha kita memastikan pelaburan rakyat melalui institusi
pelaburan awam (seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang
Simpanan Pekerja (KWSP), Kumpulan Wang Amanah Persaraan (KWAP), Lembaga Tabung
Haji (TH) dan lain-lain) memenuhi mutu piawai urus tadbir untuk pelaburan awam
(required governance for public investments).
Dalam struktur ekonomi yang melibatkan banyak pelaburan dana
rakyat yang besar di dalam syarikat-syarikat swasta senarai awam (public listed
companies), kerangka urus tadbir pelaburan awam mestilah lebih ketat untuk
mengelakkan dana simpanan rakyat kerugian apabila syarikat-syarikat ini
mengalami kerugian besar.
Kebelakangan ini, pelaburan rakyat mengalami kerugian besar akibat
masalah kewangan yang dihadapi oleh syarikat-syarikat seperti Serba Dinamik
Berhad dan Sapura Energy Berhad. Walaupun syarikat-syarikat ini secara rasminya
adalah syarikat swasta yang dikawal secara majoriti oleh pemegang-pemegang
saham individu, kerugian mendadak yang dialami telah menyebabkan kerugian besar
kepada rakyat.
Pulangnya saya ke arena politik tanah air disambut dengan kes
mahkamah yang pertama yang dibawa oleh Shahril Shamsuddin. Insya Allah saya
akan terus bersuara untuk melindungi dana rakyat seperti sebelum ini biar pun
terpaksa berdepan dengan lebih banyak kes mahkamah yang akan dibawa.
RAFIZI RAMLI