DARI FORMULALAH DATANG PENYELESAIAN – RAFIZI SEKOLAHKAN ZAHID HAMIDI

 

Pimpinan UMNO kelam-kabut mahu menutup kemaluan apabila idea paling hebat yang datang dari mereka hanyalah untuk menubuhkan Lembaga Unggas (Ayam) Negara bagi menangani krisis bekalan makanan yang menyebabkan harga barang naik melambung.

Setiap kali saya bersuara, satu-satunya jawapan yang datang dari pimpinan UMNO ialah kononnya saya hanya tahu membentangkan formula-formula.

Mereka memberi contoh bagaimana kononnya formula-formula ini tidak dapat dilaksanakan semasa PH memerintah selama 22 bulan.

Inilah satu-satunya sudut jawapan yang dibawa oleh Presiden UMNO, Dato’ Seri Zahid Hamidi semalam dalam menjawab kritikan saya terhadap cadangan Lembaga Unggas (Ayam) Negara yang dibawa UMNO.

Alasan pimpinan UMNO ini ada beberapa kelompangan.

Apabila mereka cukup takut dengan “formula-formula” saya sehinggakan beberapa pimpinan mereka bersuara serentak setiap kali saya mengutarakan idea penyelesaian, itu maknanya mereka mengakui (dalam diam) bahawa mereka tandus idea untuk mentadbir negara.

Mereka bimbang sekiranya politik Malaysia berkisar mengenai idea (bukannya sentimen kaum, agama atau siapa yang berkuasa), mereka akan ditolak rakyat seperti yang berlaku dalam PRU14.

Hakikatnya, UMNO kalah dalam PRU14 atas dua sebab utama:

(i) Skandal rasuah terbesar dunia 1MDB yang melibatkan Presiden UMNO, Najib Razak, dan

(ii) Segala dasar UMNO yang menyusahkan rakyat seperti pemotongan subsidi, pengenalan cukai-cukai baru seperti GST, rasuah dan sebagainya, yang tidak dapat dipertahankan apabila berdepan dengan pelbagai lontaran idea dari kami ketika itu.

Sebab itu, pimpinan UMNO akan cuba memperlekehkan sebarang idea penyelesaian dari pihak lawan kerana mereka tahu mereka sebenarnya tidak ada idea. Lebih banyak mereka cuba memperlekehkan idea saya, lebih jelas ketakutan mereka.

Pimpinan UMNO juga lupa bahawa sedang mereka cuba memperlekehkan idea saya, rakyat sebenarnya tahu bahawa formula penetapan harga petrol dan diesel yang digunakan oleh tiga kerajaan berturut-turut (dari PH, PN dan sekarang Kerajaan Keluarga 69) diperjuangkan oleh saya sejak 2013 semasa Najib Razak gigih mahu menghapuskan subsidi.

Dalam mereka mengatakan formula saya tidak dapat dilaksanakan, formula itu juga yang dipakai oleh Perdana Menteri dari UMNO sendiri. Kalau ada satu formula penyelesaian yang berjaya melindungi rakyat dari harga petrol yang naik mendadak (seperti di zaman Najib), formula itu dibawa oleh saya. Manfaatnya, rakyat menikmati harga petrol dan diesel pada kadar yang stabil sejak Mei 2018 hingga sekarang.

Saya yakin rakyat menghargai pimpinan politik yang mengutarakan formula. Formula bermula dari idea dan formula yang dilaksanakan dengan baik akan menghasilkan penyelesaian. Tanpa idea dan formula, tidak akan ada penyelesaian.

Sebab itu, kenyataan Zahid Hamidi tidak sedikit pun dapat menjawab asas bantahan saya kepada penubuhan lebih banyak lembaga yang menambah birokrasi serta membazirkan wang rakyat.

Kenyataan itu juga bercanggah dengan kenyataan ahli MKT UMNO yang baru dilantik, Isham Jalil yang mengatakan bahawa kerajaan pimpinan UMNO sekarang sudah pun melaksanakan dasar stok penimbal dengan mengimport ayam sejak beberapa minggu lepas.

Presiden UMNO mengatakan idea saya (agar kerajaan membina stok penimbal) hanyalah formula yang tidak boleh dilaksanakan, tetapi orang kanannya yang baru dilantik menjadi ahli MKT (yang konon terpaling pandai di dalam UMNO) pula menyebut idea itu telah pun dipakai oleh UMNO.

Jadi yang mana satu: idea saya untuk membina stok penimbal tidak boleh dilaksanakan, atau UMNO lebih dahulu memikirkan idea stok penimbal ini (sebelum mengumumkan ingin menubuhkan Lembaga Ayam Negara)?

Formula untuk membina stok penimbal bagi bahan-bahan keperluan asas negara (petrol, diesel, minyak masak, beras, tepung dan sumber protein) adalah penyelesaian jangka panjang yang memberi keupayaan kepada kerajaan untuk mengimbangi gangguan bekalan yang menyebabkan harga naik mendadak.

Ia satu mekanisme yang berpeluang lebih berkesan berbanding dengan bergantung kepada pendekatan kawalan harga barang melalui harga siling semata-mata. Sementara ada keperluan dalam industri dan kes tertentu untuk diperkenalkan harga siling (terutamanya untuk mengelakkan kegiatan pencatutan dan mengambil keuntungan yang berlebihan), kaedah harga siling semata-mata tidak berjaya menyelesaikan masalah dalam keadaan gangguan bekalan yang mendadak.

Melalui mekanisme stok penimbal, kerajaan berupaya meredakan gangguan bekalan dengan melepaskan stok penimbal untuk memenuhi permintaan, sementara usaha menyelesaikan gangguan bekalan dijalankan. Ia sama seperti mempunyai set penjana elektrik (“generator set”) untuk membekalkan elektrik ketika berlaku gangguan elektrik sementara menunggu bekalan dipulihkan.

Saya akan terus mengutarakan formula-formula untuk dipertimbangkan rakyat setiap dua ke tiga hari untuk membawa kembali persaingan politik Malaysia kepada persaingan idea.

Saya nasihatkan Zahid Hamidi dan UMNO mencari jawapan lain untuk berdepan dengan saya kerana jawapan “UMNO ada penyelesaian bukan formula” ini telah ditolak rakyat dalam PRU14 yang lepas.

RAFIZI RAMLI

Timbalan Presiden PKR

27 Jun 2022.