MENUNGGU TAJUDDIN RAHMAN JADI USTAZ TAJUDDIN RAHMAN…

 

Tidak lama selepas Tajuddin Abdul Rahman dipecat sebagai Ahli MT UMNO, kemudian disusuli kemungkinan beliau juga akan digugurkan sebagai calon dalam PRU15 akan datang, Pas dengan pantas menawarkan sedia memberinya laluan bertanding atas tiket parti Islam itu.

Kata Pas Perak, jika PN memperuntukkan kerusi Parlimen Pasir Salak kepada parti itu dan Tajuddin tidak terpilih sebagai calon mewakili BN, pihaknya sedia memberi laluan kepada Duta Besar ke Indonesia itu untuk bertanding mempertahan kerusinya.

Kiranya ini menjadi kenyataan, bermakna Tajuddin dalam PRU15 akan datang akan bertanding atas tiket PN mewakili Pas.

Tentunya juga beliau terpaksa berlawan dengan calon UMNO dan BN iaitu parti yang menaikkan namanya sebelum ini.

Wahhh…ini sudah dikira suatu perkembangan yang menarik?

Mahu tak mahu, apabila Tajudidn bertanding atas tiket Pas, tentu saja lebih afdal bagi beliau memakai kopiah putih sepanjang kempen dan mula belajar memetik beberapa ayat Al-Quran dan hadis dalam ceramah kempennya.

Mahu tidak mahu juga, untuk membezakan beliau ketika bersama UMNO dengan bersama Pas, lebih molek lagi namanya ditukar sebutan daripada Datuk Tajuddin kepada Ustaz Tajuddin.

Ya Ustaz Tajuddin…sedap pulak bunyi nama itu…

Politik adalah seni yang serba mungkin dan lawan menjadi kawan atau kawan menjadi lawan adalah lumrah yang tidak dapat dielakkan atas pertimbangan untuk mengekalkan kuasa serta menyingkirkan saingan.

Untuk itu, jika Tajuddin bertanding mewakili Pas atas tiket PN setelah namanya diketepikan oleh UMNO dan BN, ia bukanlah sesuatu yang menghairankan.

Tambahan lagi, Pas dalam sejarah masa lalunya memang diketahui kerapkali bersikap pemurah memberi laluan kepada musuh yang bertukar menjadi kawan untuk diberi peluang bertanding.

Kamaruddin Jaafar daripada UMNO, apabila menyertai Pas selepas Anwar Ibrahim dipecat pada 1998, dengan senang hati telah diberi peluang bertanding di Parlimen Tumpat.

Ibrahim Ali, tokoh kontroversi Kelantan juga pernah diberi peluang bertanding menggunakan tiket Pas di Pasir Mas.

Selain itu, Pas sendiri adalah parti yang paling terbuka di negara ini di mana ia mempunyai sejarah pernah berkawan dengan semua parti utama, termasuk DAP dan UMNO.

Kalau dengan DAP dan UMNO pun Pas boleh berkawan, meski berpisah akhirnya, apalah sangat setakat memberi peluang Tajuddin bertanding menggunakan nama partinya.

Setidak-tidaknya ada juga perkara tertentu yang menunjukkan Pas bukan sebuah parti yang jumud.

Di pihak Tajuddin pula, sama ada kalah atau menang jika bertanding menggunakan logo Pas nanti, ia bukanlah perkara pokok yang perlu dirisaukan sangat kerana yang lebih penting ialah menunjukkan sikap melawan terhadap UMNO.

Sebagai anak jati Pasir Salak, menunjukkan sikap melawan dan tidak berdiam diri begitu saja apabila namanya digugurkan sebagai calon adalah bukti yang menunjukkan darah pahlwan Datuk Maharaja Lela yang pernah membunuh JWW Birch benar-benar mengalir dalam tubuh Tajuddin.

Tidak melawan dan menyerah kalah apabila digugurkan jauh lebih memalukan daripada kalah setelah berani melawan.

Yang penting buat Ustaz Tajuddin, pilihan sudah ada buatnya dan tidaklah seperti Dr Puad Zarkashi yang sekadar mampu merungut, tetapi tidak berani melawan apabila namanya digugurkan dalam PRU14 tahun 2018 lalu. – ShahbudinHusin 27/06/2022.



No comments: