Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim
menempelak Tan Sri Tommy Thomas dan meminta bekas Peguam Negara itu melihat
diri sendiri ke cermin.
Ia
susulan kenyataan yang dikeluarkan Tommy baru-baru ini yang meminta Anwar
melihat cermin dan bertanya pada diri, mengapa beliau belum menjadi Perdana
Menteri sehingga saat ini.
Jelas Anwar, Tommy seharusnya melihat kembali sikapnya sewaktu
menjadi Peguam Negara dengan beberapa keputusan dan kenyataan kontroversinya.
“Beliau
harus melihat ke cermin kerana ketika menjadi Peguam Negara dan dalam bukunya
(My Story: Justice in the Wilderness), unsur-unsur perkauman menebal, menghina
keupayaan penjawat awam termasuk Jabatan Peguam Negara dengan melabel
keseluruhannya secara melampau.
“Tak
boleh begitu, takkan tak ada seorang pun (penjawat awam) yang layak. Ini
pandangan kolonial yang kita tolak,” katanya kepada media selepas Majlis
Peluncuran Buku Kombo Merdeka 65 Tahun karya Sasterawan Negara, Datuk Seri A
Samad Said di Pusat Dagangan Dunia, di sini pada Ahad.
Sebelum ini, dalam wawancara bersama sebuah akhbar harian
berbahasa Cina, Tommy dilaporkan meminta Anwar bermuhasabah dan melihat kembali
mengapa beliau masih gagal menjadi Perdana Menteri sehingga kini.
Anwar
juga membidas kenyataan Tommy yang didakwa menuduh tanpa bukti yang mengaitkan
bekas Perdana Menteri kedua, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai punca
rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
“Sebagai
bekas Peguam Negara, beliau tidak tahu apa peranan dia dan menuduh tanpa bukti
terhadap Tun Razak. Kalau dia bawa bukti, tak ada masalah.
“Ini
termasuk juga kes bunuh yang masih di mahkamah tapi dia bagi pandangan
sedangkan beliau Peguam Negara ketika itu.
“Jadi,
ada juga kurang bijaknya yang memerlukan dia melihat ke cermin,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai kegagalannya menjadi Perdana
Menteri sehingga kini, Anwar berkata, dia sudah pasti akan menjadi Perdana
Menteri jika berkompromi dengan pendiriannya.
“Saya
pasti sudah jadi Perdana Menteri jika saya berkompromi dengan ‘bail out’,
katakan ya pada rasuah, katakan ya pada campur tangan dalam mahkamah.
“Adakah
ini kegagalan? Pada saya, ia satu pendirian berprinsip untuk menghormati
undang-undang,” jelasnya.