Tanah Kg Sg Baru projek swasta kenapa kerajaan masuk campur?
Pengambilan tanah menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960 ke atas rumah rakyat di Kampung Sungai Baru dan tindakan Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB), suatu entiti kerajaan yang didakwa mewakili pihak pemaju dalam pertemuan bersama pemilik premis minggu lalu terus mencetuskan rasa ketidakpuasan hati penduduk.
Bagi mantan Menteri Wilayah Persekutuan, Ir Khalid Samad, tindakan PKB itu amatlah janggal dan tidak wajar dilakukan memandangkan perbadanan seharusnya mewakili penduduk yang tanah mereka dirampas.
“Saya ingin zahirkan kekecewaan terhadap apa yang berlaku 7 Jun lalu di mana pertemuan dengan PKB diadakan, walaupun saya tidak hadir, kita mengharap apa yang telah penduduk suarakan diambil kira
“Namun tindakan perbadanan bertindak sebagai wakil pemaju (dalam pertemuan itu) amatlah tidak betul. Sepatutnya PKB mewakili penduduk atau menjadi orang tengah. Bila bertindak sebagai wakil pemaju ini menimbulkan banyak persoalan,” kata Khalid dalam sidang media di Kampung Sungai Baru, tengah hari tadi.
Menurut Ahli Parlimen Shah Alam itu, sebelum ini beliau pernah ditanya pihak media mengapa tidak menyelesaikan isu pengambilan tanah tersebut ketika menjadi Menteri.
Jelas Khalid, isu itu tiada kena mengena dengan kerajaan. Katanya, kerajaan tidak boleh terlibat dalam pembangunan swasta. Hal tersebut adalah di antara pemaju dan penduduk.
Hanya kerajaan BN sahaja, katanya, yang bertindak menjadi kuasa pemutus memberikan tanah kepada pemaju.
“Kita tahu perintah pengosongan dengan Akta Pengambilan Tanah (dua bulan lalu) adalah isu dipertikaikan kerana mengapa kerajaan ambil tanah dan rumah penduduk untuk serah kepada pemaju? Itu satu persoalan yang sehingga kini tak dijawab. Kerajaan ambilalih harta rakyat serah kepada pemaju
“Ini bukan projek kerajaan dan bukan kerajaan nak bangunkan Kampung Sungai Baru, pemaju yang nak buat. Lepas itu bila perbadanan jumpa penduduk wakili pemaju, lagi merunsingkan.
“Rumah menjadi milik penduduk berpuluh tahun, bergeran. Projek nak dibuat oleh pemaju swasta kenapa kerajaan masuk campur? Pemajulah kena runding dengan pemilik, tawarkan satu harga yang boleh diterima. Itu caranya,” kata Khalid lagi.
Tambah beliau, hal itu berbeza dengan pembangunan semula Kampong Bharu yang cuba diusahakan oleh Kerajaan Pakatan Harapan lalu, di mana pihak kerajaan mahu membeli tanah penduduk untuk dibangunkan.
Bagaimanapun, katanya semua itu dilakukan secara rundingan dan tidak menggunakan sebarang akta.