YANG PASTI, PEMILIHAN UMNO SEKARANG PALING TAK SESUAI UNTUK DIRI TOK MAT SENDIRI…

 

Berkatalah Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hasan bahawa sekarang adalah masa yang paling sesuai untuk mengadakan PRU15, bukan pemilihan parti.

Kata beliau, sekiranya diadakan pemilihan UMNO ketika ini, ia akan berlaku perpecahan dan perebutan kuasa.

“Kita tidak mahu parti berpecah-pecah dan berlaku perebutan kuasa kalau diadakan pemilihan sebelum PRU.

“Bayangkan selepas buat pemilihan, ramai pemuda cukup umur kalah di peringkat cawangan.

“Kita akan kelam-kabut dan tidak ada masa siapkan jentera. Ini satu keadaan membunuh diri,” tambahnya lagi.

Ehh…ehh…betul ke tu?

Walaupun beliau menyebut kenyataannya ini bukan bertujuan menekan Ismail Sabri Yaakob agar segera membubarkan Parlimen, tetapi adalah mudah difahami ia merupakan peringatan secara tidak langsung daripadanya sebagai Timbalan Presiden kepada Perdana Menteri yang hanya merupakan Naib Presiden UMNO.

Ternampak bahawa Mohamad atau Tok Mat cuba mengingatkan Ismail Sabri tentang usul PAU2021 pada Mac lalu yang menyetujui PRU15 hendaklah diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan UMNO.

Untuk makluman Tok Mat, sama ada sekarang paling sesuai diadakan PRU atau tidak, ia sebenarnya bukanlah hujah yang terlalu kukuh.

Ini kerana sementara banyak parti lain sedia dan tidak takut mengadakan pemilihan parti sebelum atau menjelang PRU, UMNO pada 2018, walaupun mendahulukan PRU14 ketika itylu sebagaimana kelaziman yang diamalkan sejak sekian lama, tetapi BN tetap kalah dan kecundang juga akhirnya.

Bermakna, menangguhkan pemilihan parti bukan jaminan tunggal UMNO pasti akan menang PRU.

Yang pasti, mengadakan pemilihan UMNO sekarang atau sebelum PRU15 memang paling tak sesuai untuk Tok Mat sendiri.

Dengan tanpa jawatan dalam kerajaan dan ramai pesaingnya pula duduk sebagai menteri, jika pemilihan diadakan terlebih dahulu sebelum PRU, ia tentu saja akan menjadi keadaan terpaling sukar bagi Tok Mat untuk mempertahankan jawatannya.

Bila sudah gagal mempertahankan jawatan, biasanya peluang untuk bertanding dalam PRU15 selepas itu pun jadi bertambah sukar lagi.

Untuk selamat dan mudah mendapat tempat sebagai calon, maka mestilah diusahakan agar PRU15 diadakan terlebih dahulu sebelum pemilihan parti atau ketika masih ada jawatan dalam parti.

Iyalah…takkan Timbalan Presiden tak diberi kerusi untuk bertanding?

Apa pun, dengan kenyataan ini bolehlah diucapkan syabas kepada Tok Mat kerana nampaknya tidak berselindung lagi dalam memikirkan kepentingan diri dan kerusi buat dirinya sendiri. – ShahbudinHusin 11/05/2022.