DATO’ SERI NAJIB ADA KUASA
HENTIKAN PEMBELIAN TANAH 1MDB OLEH TABUNG HAJI, PULANGKAN WANG TABUNG HAJI
Pembelian tanah 1.56 ekar oleh
Lembaga Urusan Tabung Haji (atau “TH”) dari 1MDB yang melibatkan pembayaran
RM188.5 juta wang pendeposit TH kepada 1MDB akan selama-lamanya dilihat sebagai
usaha menyelamatkan (“bail-out”) 1MDB. Tanah itu pula dilaporkan dibeli pada
harga yang cukup murah oleh 1MDB dari Kerajaan Persekutuan iaitu pada harga RM74.20
satu kaki persegi dan dijual pada harga berkali-kali ganda mahalnya (iaitu pada
harga RM2,779 satu kaki persegi) kepada Tabung Haji.
Lebih mencurigakan, nilai jualan
RM188.5 juta itu lebih kurang serupa dengan nilai pembayaran faedah pinjaman
yang perlu dilunaskan oleh 1MDB bagi hutang-hutangnya. Mengikut laporan akhbar
perniagaan The Edge, 1MDB perlu membayar faedah pinjaman sebanyak USD52.5 juta
(bersamaan RM188.5 juta) minggu depan.
Apakah penggunaan duit
pendeposit Tabung Haji ini adalah bertujuan untuk membantu 1MDB membayar faedah
pinjamannya?
Keadaan ini hampir sama dengan
tindakan Kerajaan Persekutuan menyuntik RM950 juta ke dalam 1MDB pada
pertengahan Mac lalu iaitu pada tarikh yang hampir sama dengan tarikh bayar
faedah hutang 1MDB.
Saya tidak menafikan bahawa
tanah 1.56 ekar yang dibeli itu berpotensi untuk dimajukan. Namun, tanah itu
pada asalnya adalah tanah milik Kerajaan Persekutuan dan tidak sewajarnya 1MDB
membuat untung atas angin dengan mengambil wang pendeposit TH; lebih-lebih lagi
jika dana itu kemudiannya digunakan untuk membayar faedah hutangnya.
Ada dua cara terbaik TH membeli
tanah tersebut tanpa mengorbankan kebajikan pendeposit TH, iaitu:
1. Pertama – membeli terus tanah
itu dari Kerajaan Persekutuan pada harga diskaun yang diberikan oleh Kerajaan
Persekutuan kepada 1MDB. Keuntungan yang dibuat oleh TH di atas pembelian ini
bolehlah dikira sebagai sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada pendeposit miskin
untuk mereka mencukupkan tabungan untuk naik haji; atau
2. Kedua – membeli tanah
tersebut dari 1MDB pada harga “forced sale value” atau harga lelongan kerana
1MDB telah benar-benar terdesak untuk mendapatkan wang tunai. Selalunya,
syarikat yang bermasalah melelong harta mereka pada harga yang betul-betul
murah dan dalam kesempatan beginilah TH boleh mendapat keuntungan yang baik
dari pembelian itu
Saya yakin bahawa perjanjian
jual beli tanah yang melibatkan dana sebanyak RM188.5 juta ini belum dimuktamadkan
kerana hakmilik belum dipindakmilikkan kepada TH. Oleh yang demikian, kontrak
ini belum dikira muktamad dan 1MDB belum memenuhi semua syarat-syarat jual
beli.
Oleh yang demikian, ada peluang
untuk menghentikan jual beli ini untuk membolehkan dana RM188.5 juta milik
pendeposit TH (termasuk simpanan saya sendiri) tidak disentuh.
Kuasa untuk meluluskan
pindahmilik tanah selepas sesuatu urusniaga jual beli adalah kuasa Pejabat
Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan yang bertanggungjawab kepada Menteri
Wilayah Persekutuan, YB Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor.
Oleh yang demikian, KEADILAN
akan menggembleng tenaga untuk menekan supaya Dato’ Seri Najib Tun Razak dan
Dato’ Seri Tengku Adnan Mansor menggunakan kuasa mereka untuk menghentikan
urusniaga jual beli ini secara berikut:
1. Pejabat Tanah dan Galian
Wilayah Persekutuan memutuskan untuk meluluskan permohonan pindahmilik tanah
dari 1MDB kepada TH;
2. Oleh kerana 1MDB gagal
memastikan hakmilik tanah ditukar nama kepada TH, ia gagal memenuhi
syarat-syarat jual beli. Kontrak itu secara automatik juga akan terbatal;
3. Oleh kerana kontrak terbatal,
maka 1MDB tidak ada pilihan lain kecuali memulangkan kembali wang RM188.5 juta
yang telah diambilnya dari TH.
Kesemua ini boleh dilakukan
tanpa melanggar undang-undang dan ia adalah dalam bidang kuasa Dato’ Seri
Tengku Adnan Mansor (yang bertanggungjawab dengan urusan Pejabat Tanah dan
Galian Wilayah Persekutuan) dan Dato’ Seri Najib Tun Razak (Pengerusi Lembaga
Penasihat 1MDB).
Sebagai permulaan, saya akan
memanggil satu perjumpaan dengan semua pendeposit Tabung Haji pada hari Rabu
depan, 13 Mei 2015 jam 9 malam (tempat akan diumumkan kelak) untuk melancarkan
kempen mendesak supaya Kerajaan Persekutuan menggunakan kuasanya menghentikan
penggunaan dana TH ini.
RAFIZI RAMLI
NAIB PRESIDEN/SETIAUSAHA AGUNG
KEADILAN
AHLI PARLIMEN PANDAN
8 MEI 2015