Universiti tempat bercambah ilmu kenapa halang debat Anwar – Najib?
Keengganan Universiti Malaysia membenarkan Dewan Tunku Canselor dijadikan gelanggang debat Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak amat dikesalkan.
Calon Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Fahmi Zainol berkata, universiti sebagai medan kebebasan akademik sepatutnya menerima acara debat itu sebagai aktiviti utama dan bukan menghalangnya.
“Saya cukup terkilan dengan halangan yang dikenakan terhadap usaha Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menganjurkan debat bersama-sama dengan penganjur utama yang lain di Universiti Malaya, sebuah institusi yang seharusnya menjadi platform bagi merancakkan penganjuran wacana, pertukaran idea dan forum yang boleh memanfaatkan masyarakat keseluruhan.
“Tatkala tempat baharu bagi debat tersebut telah diputuskan, saya lebih terkesan terhadap halangan tidak munasabah yang dikenakan terhadap persatuan mahasiswa untuk menganjurkan aktiviti seperti ini di dalam kampus.
“Isu yang lebih besar pada pandangan saya adalah soal duluan atau precedent yang kita tinggalkan terhadap usaha melaksanakan kebebasan berakademik di kampus dan juga masa hadapan, apakah yang kita harapkan daripada anak muda keluaran universiti hasil daripada mengekang mereka daripada beraktiviti dan berkegiatan di kampus seperti ini?” tanyanya.
Fahmi membandingkan universiti utama dunia seperti Oxford dan lain lain yang menerima ahli politik berdebat menggunakan dewan mereka, namun amat memalukan apabila universiti tempatan menghalang acara mencambahkan demokrasi awam seperti itu dianjurkan.
“Pendirian saya kita tidak boleh berkompromi dengan sebarang usaha menyekat kebebasan berakademik di kampus. Prinsip luhur ini juga saya terjemahkan dalam tindakan sewaktu saya memimpin PMUM dahulu, walau sebagai bayarannya saya digantung pengajian dan dianiaya.
“Prinsip ini kekal dan akan terus saya pertahankan sehingga sekarang demi melawan sebarang projek pembodohan umat oleh pemegang kuasa,” katanya.
Sehubungan itu, Fahmi mengucapkan selamat maju jaya kepada penganjur debat Anwar – Najib di tempat baharu.
Beliau juga menghargai usaha Naib Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli yang pada awalnya mencabar Datuk Sri Najib untuk berdebat isu penyelamatan sebuah entiti swasta menggunakan dana awam, sekali gus membantu Presiden KEADILAN mematahkan hujah dan naratif songsang yang dibawa oleh Najib Razak di media sosial.