Semalam seorang lagi akauntan menziarahi saya di Laman Pok Nik.
Dia memang macam “pelanggan tetap”, إن شاءالله akan sentiasa beraya di rumah
saya setiap tahun.
Cerita punca cerita keluarlah cerita berkenaan orang-orang yang menubuhkan NGO untuk melakukan pelbagai jenis kebaikan. Itu tak ada masalah. Yang menjadi masalah ialah pengurusan kewangan. Jika rekod kewangan tidak mantap
, risiko orang yang menguruskan NGO termakan duit derma adalah
tinggi.
Lebih dari itu, risiko termakan duit ini wujud juga jika
pengurus-pengurusnya ada transaksi dengan NGO yang diuruskan seperti dibayar
gaji, menjual aset peribadi kepada NGO, menjadi kontraktor kepada NGO dan
pelbagai transaksi lagi yang dikawal dan ditentukan oleh pengurus berkenaan.
Di dalam sektor korporat ini dipanggil transaksi dengan pihak
yang berkaitan (related party transaction). Jika transaksi-saksi ini tidak
dibuat pada kadar yang wajar (fair value) yang sama sekiranya ianya berlaku
dengan pihak lain yang tidak berkaitan, pengurus yang terlebih bayar atau
meletakkan nilai yang lebih tinggi dari nilai pasaran mungkin sudah menzalimi
NGO yang diuruskan itu.
Inilah sebabnya pemegang amanah boleh didakwa di mahkamah kerana
pecah amanah walaupun duit yang terlibat adalah derma dari dirinya sendiri.
Apabila sebuah yayasan ditubuhkan, ianya adalah sebuah institusi yang berdiri
sendiri dengan tujuan khusus. Jika dana yang ada adalah 100% didermakan oleh
pengasas yang kemudiannya menjadi pemegang amanah, dia tidak boleh menggunakan
dana demikian sesuka hati. Jika dia membelanjakan dana berkenaan di luar dari
tujuan penubuhan yayasan atau pun membayar dirinya elaun yang tidak ada asas yang
kukuh, itu sudah boleh masuk ke ruang pecah amanah.
Satu lagi isu ialah kos pengurusan NGO. Adalah menjadi amalan
global bahawa NGO yang
terbaik
ialah organisasi yang mana kos pengurusannya adalah terendah.
Ini adalah kerana penderma yang menderma memaksudkan derma mereka sampai kepada
orang-orang yang menjadi sasaran NGO, bukannya untuk menampung operasi NGO.
Jika NGO perlu kereta, belilah kereta yang bersesuaian. Mengapa beli Vellfire
jika Proton X50 sudah mampu mencapai maksud keperluan kepada kenderaan?
Sehari dua ini saya dimaklumkan berkenaan ”kebenaran Bank
Negara” bahawa NGO boleh membelanjakan 30% dari derma yang dikutip untuk tujuan
pengurusan. Ada beberapa masalah dengan “kebenaran” ini jika ianya benar-benar
wujud:
1. Oleh kerana dana yang didermakan kepada NGO (tak kira apa
bentuk NGO berkenaan) adalah dana amanah, setiap sen yang dibelanjakan mestilah
bersesuaian dengan tujuan derma diterima. Lebih kecil perbelanjaan, lebih
bagus. NGO yang membelanjakan sehingga 30% dari dana yang diterima amat tidak
cekap (efficient). Maknanya pengurusan adalah lemah jika memerlukan peratusan
kos pengurusan setinggi itu.
2. Penetapan kadar pengurusan akan menyebabkan orang-orang yang
lemah imannya dan tidak ada nilai yang betul mengira bahawa 30% itu hak mereka
sebagai pengurus, macam konsep amil zakat pula. Jadi, jika NGO demikian
menerima RM 1 juta, RM 300 ribu sudah boleh masuk poket, tak kira samada ianya
ada sebab yang sahih atau tidak.
3. Pengurusan NGO tidak akan berhati-hati di dalam membelanjakan
dana kerana had pengurusan begitu tinggi. Ini boleh menyebabkan NGO membayar
kos yang lebih tinggi dari harga pasaran. Takutnya ada pihak yang masyukk bila
berurusan dengan NGO yang bersikap sedemikian.
Di Singapura, NGO atau pun NPO (Not For Profit Organisation)
dikawal dengan ketat oleh kerajaan selepas skandal Singapore Kidney Foundation
berlaku. Kes ini termasuk pembelian harta mewah, gaji CEO yang tinggi, manfaat
perjalanan yang mewah dan sebagainya. NGO tidak boleh dijadikan alat kepada
orang-orang yang tidak amanah untuk mengambil dana dari orang ramai dan
menggunakan sebahagian dari dana berkenaan untuk menyenangkan
pengurus-pengurusnya pula, bukan membantu orang-orang yang perlu dibantu secara
maksima seperti yang dinyatakan di dalam tujuan penubuhan NGO.
Sebenarnya, perlunya mengawal kos pengurusan ini bukannya terhad
kepada NGO dan NPO sahaja. Ianya perlu dijaga dengan penuh amanah bagi setiap
institusi awam termasuk kerajaan dan agensi-agensinya serta badan-badan
berkanun yang lain. Setiap sen yang dibelanjakan adalah dana awam, jadi kenalah
diperhalusi setiap perbelanjaan agar amanah yang dipikul dilaksanakan dengan
baik dan tidak menimbulkan masalah apabila diaudit kelak. Yang lebih menakutkan
ialah apabila diperkirakan di hadapan Allah SWT di akhirat kelak. Ada berani?
Saya amat berkeyakinan sekiranya kita benar-benar takut kepada
sifat keadilan Allah, kita tidak akan berani mengambil sesen pun dana yang
bukan milik kita. Ini adalah kerana Allah maha mengetahui. Kita tak boleh
kelentong Allah macam kita kelentong juruaudit di dunia. Kalau dah tertangkap,
kita tak boleh buat represantasi supaya Peguam Negara kompaunkan sahaja, hanya
sifat kasih sayang Allah yang boleh menyelamatkan kita.
Persoalannya, adakah mengambil harta orang lain secara sedar dan
zalim menjadikan Allah sayang kepada kita? Adakah dengan menubuhkan rumah-rumah
anak yatim dan pusat-pusat tahfiz Al Quran dengan duit yang didapati dengan
menyalahgunakan kuasa dan rasuah sudah cukup untuk membersihkan dosa-dosa dari
maksiat-maksiat besar itu? Bagaimana dengan orang-orang yang terzalim dengan
jenayah berkenaan? Jika ianya melibatkan dana awam, habis rakyat satu negara
yang terzalim? Ini semua hanya boleh kita ketahui apabila kita bertemu Allah di
akhirat kelak. Beranikah mengambil risiko sebegini?
Semoga Allah memberi kita taufiq dan hidayah agar kita sentiasa
melaksanakan amanah dan tanggungjawab dengan cara yang
terbaik
dan menjembut kasih sayang Allah kepada kita.