Terdapat 4 isu kelemahan tadbir urus kewangan yang kesannya
berpotensi mengulangi skala kerugian akibat skandal 1Malaysia Development
Berhad sekiranya tidak ditangani dengan rapi oleh kerajaan.
Menurut Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar
Ibrahim, pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob jangan
menggunakan alasan memorandum kerjasama (MoU) Kerajaan Persekutuan - Pakatan
Harapan untuk menyembunyikan skadal berkenaan.
Katanya, penggunaan wang rakyat secara tidak bijak akan
mengakibatkan kerugian yang sangat besar pada kemudian hari.
"Saya menggesa agar penjelasan segera diberikan oleh Perdana
Menteri terkait beberapa projek nasional yang perinciannya tidak dijelaskan
kepada negara dan rakyat.
"Usah jadikan Memorandum Persefahaman sebagai alasan untuk
diinjak prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban.
"Kerajaan perlu segera tangani beberapa isu besar antaranya
mengenai pengurusan kerajaan, penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang
melibatkan berbilion ringgit duit rakyat yang tidak dibentangkan secara telus
kepada rakyat," katanya.
Tambah Ahli Parlimen Port Dickson itu lagi, kelemahan pengurisan
atau skandal kewangan tersebut masih belum parah dan boleh diperbaiki jika
ditangani segera
Justeru, beliau mencadangkan satu sidang khas Parlimen dipanggil
dalam masa terdekat bagi membahaskan kesemua salah urus kewangan terbabit.
"Perkara ini ternyata membimbangkan dan saya desak supaya
diberi perhatian segera sebelum ia kian parah dan berterusan.
"Jika dahulu 1MDB, kini MRT, DNB, MySejahtera dan Sapura,
semua isu ini perlu segera dijelaskan kerajaan kepada rakyat.
"Jadi saya usulkan agar diadakan sidang Parlimen dan
diperuntukan beberapa hari untuk membahaskan isu tatakelola kerajaan,
penyalahgunaan kuasa dan keputusan yang melibatkan berbilion ringgit duit
rakyat yang tidak dibentangkan secara telus.
"Jangan izinkan penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan terus
berleluasa," katanya lagi.