Pampasan kepada penduduk yang terlibat dengan pengusiran paksa di
Kampung Sungai Baru, Kampung Baru, Kuala Lumpur sepatutnya lebih tinggi
memandangkan mereka perlu membeli rumah di sekitar tempat berkerja sekarang.
Setiausaha Otai Reformasi 1998, Razak Ismail berkata, dengan pampasan
lingkungan RM200,000 - RM300,000 tiada rumah yang boleh dibeli di sekitar Kuala
Lumpur, melainkan penduduk terpaksa berpindah ke kampung.
"Kita dimaklumkan pampasan tak standard, ada yang dapat
RM198,000 hingga RM300,000. Jadi kita merasakan ada masalah di sini.
"Rumah flat ada dua jenis, satu bilik dan dua bilik. Kita
rasakan pemaju atau DBKL tak berlaku adil beri pampasan. Ada yang telah
mengosongkan flat, dan mereka pindah rumah transit di Kerinchi, ada pindah
keluar (menyewa)," katanya dalam sidang media petang semalam.
Katanya, Otai Reformis akan terus mempertahankan penduduk apabila
tarikh berpindah yang ditetapkan kerajaan telah dilepasi pada Julai ini.
"Otai dan kawan kawan akan pastikan kami berada di sini masa
habis temoh 42 hari itu, kita nak tengok reaksi kerajaan. Otai akan tetap
bersama penduduk Sg Baru mempertahankan hak mereka. Kecuali kerajaan beri
pampasan sewajarnya kepada penduduk.
"Bukan mudah nak dapat rumah di tengah bandar," katanya.
Sementara itu, ahli jawatankuasa penduduk Kampung Sg Baru, Anwar
Ahmad berkata, beliau telah mendapat cek dan perlu berpindah.
Namun, katanya pemaju tidak menawarkan rumah. Dengan harga rumah
di Kuala Lumpur di atas RM500,000 beliau tidak tahu ke mana mahu pergi.
"Saya menetap di sini daripada umur 3 tahun. Sekarang saya
dah ada 5 cucu. Saya bahagia di sini tak ada masalah. Kemudahan semua senang,
hutang tak ada, tak kan saya kena pindah kemudian nak berhutang lagi.
"Saya dapat cek RM244,000. Bornag K (kosongkan premis) belum
lagi. Tetapi tak tahu nak duduk di mana.
"Tak ada dijanji untuk dapat rumah," katanya.
Sehubungan itu, Razak berharap agar kerajaan membela penduduk dan
Menteri Wilayah mengadakan sesi rundingan baharu antara penduduk dan pemaju.