MOHD AFFENDI ABAS
Bella didera: Rina sekali lagi dikecam warganet, dianggap baru sedar dari lena selepas TMJ bagi ‘salam’
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun sekali lagi dikecam warganet susulan keputusan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menawarkan perkhidmatan peguam secara percuma bagi pihak kementerian berhubung kes penderaan Bella.
Orang ramai rata-ratanya menganggap menteri dari parti Bersatu berkenaan sebelum ini ‘tidak buat kerja’ dalam isu membabitkan penderaan terhadap remaja kurang upaya (OKU) seperti Bella.
Bahkan, ada yang berharap Rina benar-benar menjalankan amanah sebagai seorang menteri yang bertanggungjawab bukan sekadar berkerja apabila ‘diketuk’ pihak istana.
“Kes dari tahun lalu tapi diam saja. TMJ bagi salam baru muncul. YB baru sedar dari mimpi yang panjang ke?
“Atau sibuk sangat pegang water jet? Kenapalah Malaysia ada menteri macam ni. Nak kena ketuk baru bergerak,” tempelak pengguna Facebook, Franciska Francis.
Kecaman orang ramai itu dilihat memenuhi ruangan komentar dalam hantaran Rina semalam di Facebook yang memaklumkan bahawa pihak kementerian diterajuinya akan bersedia menghadap TMJ.
“Patik dan rombongan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bersedia untuk menghadap DYAM Tuanku dan YAM Che Puan Besar bagi mempersembahkan status kes perbicaraan adik Bella, dan tindakan-tindakan yang telah disusuli oleh pihak Kementerian dalam membantu perbicaraan kes ini.
“Titah DYAM Tuanku yang berkenan menawarkan khidmat peguam secara percuma bagi untuk menjalankan arahan memerhati (watching brief) bagi pihak KPWKM untuk kes ini amatlah bermakna buat pihak Kementerian dalam memperkasakan usaha menegakkan keadilan buat adik Bella,” kata Rina.
Kempen menuntut keadilan buat Bella menarik perhatian orang ramai.
Terdahulu, Tunku Ismail menerusi Instastory di Instagram rasmi baginda memaklumkan sudah menghubungi peguamnya dan akan berhubung dengan Rina bagi tujuan tersebut.
Titah dikeluarkan Tunku Ismail itu beberapa jam selepas Khaleeda berkongsi pendiriannya di laman sama kelmarin, bagi membantu menuntut keadilan buat remaja perempuan Sindrom Down itu.
Dalam masa sama, sedutan video lawatan Rina ke sebuah rumah di Seremban untuk bertemu dengan Bella bersama rombongan media kembali tular di media sosial sekaligus mengundang kritikan orang ramai.
Kes kecederaan fizikal dan emosi yang teruk dialami Bella menyaksikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, berdepan dua pertuduhan di mahkamah.
Siti Bainun yang pernah menerima Anugerah Khas Pergerakan Puteri Umno pada 2016 itu didakwa melakukan perbuatan di sebuah kondominium di Wangsa Maju, di sini antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.