Saya mengambil sedikit masa untuk membangkitkan rasa sedar dalam
diri saya sendiri dalam menghayati dua mesej yang disampaikan dua tokoh Parti
KEADILAN Rakyat dalam dua hari kebelakangan ini.
Ahli Parlimen Pasir Gudang YB Pak Hassan Karim meluahkan rasa
sedih dan kerisauan tentang pudarnya semangat perjuangan di kalangan anak-anak
muda yang memimpin parti di kala ini, dimalapkan oleh kecenderungan analisa
data, simulasi dan persepsi yang membawa kepada kibaran bendera putih
bersandarkan analisa mudah menggunakan kaedah serba moden mereka.
Saya tidak nafikan, analisa data sedemikian memang membantu
dalam memberikan gambaran tentang kedudukan parti dalam bentuk angka-angka yang
ditafsirkan sebagai panduan. Tetapi, bak kata Pak Hassan, ia tidak samasekali
patut menjadi signal untuk begitu mudah mengibarkan bendera putih.
Calon Timbalan Presiden YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail
dalam satu ceramahnya seperti menyambut kenyataan Pak Hassan itu dan mengupas
kedudukan sebenar parti yang terus-menerus cuba dilemahkan oleh elemen-elemen
dalam parti sendiri dengan persepsi negatif setelah parti mengalami kekalahan
dalam empat siri pilihanraya negeri yang lalu. Ini sedangkan suara-suara itu
sendiri memilih untuk tidak berada bersama ketika parti sedang lemah.
Perlu penyatuan dalam parti di mana kita semua berkongsi
halatuju yang sama dan bukan adanya pihak yang menyimpan hasrat untuk
menggantikan Anwar sebelum tiba waktunya, lebih-lebih lagi beliau sendiri baru
sahaja kembali dari penjara dan belum pun mendapat peluang merealisasikan
reformasi dan menterjemahkan perjuangannya untuk rakyat.
Kenyataan mereka boleh saya simpulkan sebagai satu kerisauan
yang dikongsi di kalangan generasi pejuang Reformasi atau orang-orang lama
parti. Ia lebih tentang pudarnya semangat juang di kalangan generasi pelapis,
lebih-lebih lagi penghayatan tentang erti perjuangan sebenar Parti KEADILAN
Rakyat.
Saya cuba mudahkan pemahaman tentang apa itu perjuangan rakyat
yang menjadi tunjang Reformasi dari perspektif seorang anak muda kerdil seperti
saya.
Perjuangan ini bukan tentang kita tetapi tentang rakyat miskin
dan terpinggir yang suara-suara mereka kita angkat dan mertabatkan hingga
selamat dari kehidupan yang tertekan angkara ketirisan, kezaliman dan korupsi
amalan elit politik tanahair sejak Merdeka.
Ya, kita bersaing untuk merebut jawatan dalam parti yang
memungkinkan kita langsung bersaing pula untuk menjadi calon dalam pilihanraya
dan dalam pilihanraya itu sendiri kelak.
Kita bersaing untuk menjadi sosok yang membawa suara-suara
kerdil yang tidak didengari baik dari kalangan ahli-ahli yang terpinggir,
mahupun rakyat jelata. Ini harus saya tekankan, menjadi asas misi kita, atau
sekurang-kurangnya pasukan saya dan mereka yang senada dengan kami.
Ini bukan satu mesej yang semakin berkurang relevannya di kala -
seperti apa yang dibangkitkan YB Pak Hassan Karim - analisa, data dan
artificial intelligence menjadi pemangkin kepada kajian dan juga persepsi
tentang kedudukan parti KEADILAN dan PH di mata rakyat.
Malah, mesej bagi mengingatkan generasi pelapis tentang
perjuangan mengangkat suara rakyat ini semakin relevan di kala ini, di mana
rakyat berdepan kesempitan hidup dan kesengsaraan yang turut diakui oleh
projeksi-projeksi data dan analisa strategik tentang hala tuju ekonomi negara.
Ini sepatutnya lebih membimbangkan kita dari data dan analisa
samada kita menang atau kalah pilihanraya akan datang atau yang seterusnya. Ini
kerana usaha kita, menang atau kalah, adalah sepatutnya bertunjangkan
perjuangan yang tidak pernah selesai ini.
Mungkin ada ketika di mana saya sendiri berasa hampa dengan
pandangan-pandangan yang tidak langsung memberikan gambaran positif terhadap
parti. Di kala itu saya sering mengingatkan diri tentang perjuangan yang
dilalui presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim, lebih-lebih lagi
Demonstrasi Baling 1974.
Menyingkap kembali peristiwa Demonstrasi Baling 1974 itu, kita
diingatkan bagaimana mahasiswa-mahasiswa di kalangan anak muda ketika itu
bangkit melawan ketidakadilan dan kesenjangan yang mengakibatkan ribuan rakyat
di kalangan petani-petani miskin dan jauh terpinggir di pedalaman, hidup
sengsara dalam kesempitan hidup yang kian menekan. Mereka bukan saja hidup
merempat dan ditekan kemiskinan, serta masalah kesihatan dan wabak penyakit
akibat daripada itu, tetapi suara-suara mereka juga terpinggir dan langsung
tidak didengari.
Memperjuangkan nasib mereka ini bukanlah sesuatu yang popular.
Tidak juga membawa apa-apa pulangan kepada para mahasiswa muda ketika itu.
Malah ekoran itu, Anwar dipenjarakan selama hampir dua tahun akibat
penglibatannya dalam Demonstrasi Baling itu. Namun, ia membawa perubahan dan
perhatian negara tertumpu kepada nasib para petani-petani miskin yang
terpinggir dan terpisah dari arus pembangunan tanahair. Nasib mereka akhirnya
mendapat pembelaan.
Itu tidak memberikan apa-apa keuntungan kepada Anwar dan
rakan-rakan seperjuangannya ketika itu, termasuk Pak Hassan Karim sendiri.
Tetapi perjuangan ikhlas mereka terpahat di hati petani-petani itu sehingga
kini. Ia dapat di lihat di mana pada bulan Mac lalu, penduduk-penduduk di situ
masih tetap menganjurkan majlis bagi memperingati Demonstrasi Baling dan
pengorbanan sosok bernama Anwar Ibrahim demi masa depan mereka.
Anwar menang dalam perjuangannya itu, tapi habuan yang dia dapat
ialah merengkok dalam penjara. Namun itu menjadi pemangkin, pembakar
semangatnya untuk terus berjuang dan setelah 48 tahun pun tiada data atau
indikasi yang menunjukkan semangat itu telah malap walau sedikit pun. Jadi
siapalah kita untuk menyerah kalah hanya kerana kalah dalam empat pilihanraya
negeri di kala parti mengalami kelompongan dan dilemahkan?
Contoh dan teladan ini yang saya terus berusaha terap dan
sematkan di dalam hati dan sanubari anak-anak muda KEADILAN melalui gerakan
Legasi Reformasi.
Kita harus teruskan menyantuni, mendengar dan membawa suara
rakyat dan ahli-ahli kecil KEADILAN, walau kita mengerti usaha-usaha tidak
popular ini tidak dikutip sebagai data yang boleh menggambarkan kemenangan
parti dalam pilihanraya. Kerana inilah perjuangan kita dan kerana itulah kita
berada di dalam Parti KEADILAN.
Paling utama ialah pada saat yang getir ini kita, tidak kira
yang lama, yang baru, yang tua atau muda, perlu disatukan hati di bawah satu
panji dan halatuju yang dikongsi bersama. Inilah mesej yang kita bawa bersama
dalam pemilihan parti kali ini. Meningkatkan persepsi bahawa parti lemah tanpa
mana-mana sosok yang tidak mahu bersama harus ditolak dan digantikan dengan
kekuatan yang kita bina hasil penyatuan ini.
Walau mungkin Pak Hassan sebagai orang lama sedikit terguris
oleh sentimen-sentimen yang dimainkan oleh segelintir ahli-ahli di kalangan
anak muda parti, percayalah bahawa masih ada dan semakin ramai anak-anak muda
yang menghayati dan akan terus membawa panji-panji perjuangan rakyat ini dengan
penuh tawadhu dan istiqomah.
Percayalah, di dalam jiwa kami, seperti juga Pak Hassan dan
Datuk Seri Saifuddin, tiada tokoh lain selain Anwar Ibrahim yang menjadi
pilihan untuk dinobatkan Perdana Menteri.
18-4-2022
FARHASH WAFA SALVADOR
Calon Naib Presiden
PARTI KEADILAN RAKYAT