AMBULANS mungkin membawa pesakit yang bertarung nyawa untuk mendapatkan rawatan segera di hospital.
Justeru, pengguna jalan raya perlu memberikan laluan kepada kenderaan itu tidak kira dalam apa jua situasi.
Namun tidak dinafikan wujud juga sesetengah kes yang kurang memberi perhatian ambulans ketika dalam keadaan kecemasan.
Namun situasi yang berlaku baru-baru ini apabila sebuah konvoi pemerintah tertinggi negeri Selangor bertindak memberi laluan kepada ambulans mencuri perhatian ramai.
Menerusi perkongsian video oleh Kuan Chee Heng atau lebih dikenali sebagai ‘Uncle Kentang’ di Facebook miliknya, kelihatan ambulans milik badan kebajikannya bukan sahaja diberi laluan namun turut juga diiringi polis.
Katanya, tiga polis trafik yang ‘dipercayai’ sedang mengiringi DYMM Sultan Selangor membuat keputusan segera untuk membawa ambulans dalam perjalanan ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur.
Menurut beliau, semasa kenderaan kebajikannya sedang rapat ke kiri untuk memberi laluan kepada konvoi tersebut, salah seorang polis trafik segera menghampiri dan memintanya ikut dua lagi polis trafik yang berada di hadapan.
“Tiga outriders motor besar trafik dengan cekapnya memperlahankan kenderaan lain dan beri laluan kepada kenderaan kami. Mereka iringi dari Simpang Jalan Semantan sehingga ke Jalan Parlimen bagi mempermudahkan misi kami membawa pesakit ke IJN.
“Kami terharu dengan usaha baik ini. Motorcade tersebut tidak melengahkan pergerakan, malah memudahkan ia bergerak lancar semasa kesibukan lalu lintas di pagi hari,” coretnya.
Sementara itu, Facebook rasmi ‘Selangor Royal Office’ turut mengesahkan bahawa kejadian itu berlaku semasa konvoi DYMM Sultan Selangor dalam perjalanan menuju ke Istana Negara baru-baru ini.
Orang ramai yang menonton video itu memuji dan mendoakan seluruh individu terlibat dalam konvoi tersebut dilimpahi rahmat kerana menunjukkan keprihatinan terhadap rakyat yang sedang dalam kecemasan.
Ujar mereka;
“Sekalung budi kepada semua yang terlibat dalam misi hari tersebut termasuk wira-wira escort, team ambulans, Uncle Kuan Chee Heng sayang dan Yang DiPertuan Agong. Semoga jasa dan kebaikan yang diutamakan diberkati Tuhan yang Maha Esa.”
“Semoga Allah SWT sentiasa memberkati Tuanku dan keluarga. Terbaik Trafik PDRM.”
“Kite kan tengok video macam ni pun rasa sebak. Kita mudahkan urusan orang mudah mudahan Allah mudahkan urusan kita kemudian hari.”
“Anggota menjalankan tugas dengann penuh dedikasi, Daulat Tuanku kerana perkenanan memberi laluan kepada ambulans. Semoga Allah SWT memberi kerahmatan kepada semua yang terlibat.”
“Inilah yang sepatutnya berlaku, berikanlah laluan kepada ambulans yang sedang membawa pesakit. Kerana setiap saat adalah sangat berharga untuk menyelamatkan nyawa pesakit. Sesiapa yang pernah berada di dalam ambulans semasa kecemasan pasti sangat memahami.”
Semoga tindakan ini dapat dijadikan contoh kepada konvoi-konvoi lain ketika dalam situasi yang sama pada masa akan datang.