PETALING JAYA: Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim memberi penghormatan kepada mendiang Karpal Singh kerana enggan mengambil satu sen walaupun mewakili Presiden PKR itu di mahkamah selama bertahun-tahun.
Beliau teringat ketika Karpal melawatnya di penjara dan menegurnya selepas keluarga dan rakan Ketua Pembangkang itu mengutip sehingga RM400,000 untuk membayar yuran guamannya.
Tanpa pengetahuan Ahli Parlimen Port Dickson itu, Karpal menemuinya di penjara dan memarahinya.
“Rupanya adik saya berunding dengan keluarga…Wan Azizah (Ismail)…kita dapat sumbangan sehingga RM400,000 tapi itu sedikit sangat.”
Katanya, apabila adiknya ke pejabat Karpal untuk membayar, dia bertanya dan marah serta menghalau keluar.
“Adik saya nak pergi bayar, dia halau pula. Jumlah yang hendak dibayar kepada mendiang terlalu sedikit jika dibandingkan dengan bantuan yang diberikan selama bertahun-tahun.
“Saya fikir mendiang telah banyak buat ‘research’ (penyelidikan), ada staf, dia lawan hari-hari di mahkamah” katanya ketika berkongsi pengalaman pada Majlis Pengumuman Calon PKR bagi kawasan Johor Utara malam tadi.
Karpal, seorang peguam kanan yang dihormati, yang juga bekas Pengerusi DAP, dikenali sebagai “Harimau Jelutong” bersempena kawasan Pulau Pinang yang diwakilinya di Dewan Rakyat dari 1978-1999.
Beliau mewakili Anwar dalam perbicaraan kes liwat pertama dan keduanya.
Karpal maut dalam kemalangan jalan raya pada 2014.