PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) mungkin akan mengekalkan kuasanya di Selangor pada pilihan raya umum (PRU) akan datang walaupun timbul keretakan dalam PKR Selangor dan penghijrahan mereka yang bersekutu dengan Azmin Ali, kata seorang penganalisis.
James Chin daripada Institut Asia Universiti Tasmania berkata, PKR gagal mencari kedudukan selesa selepas Azmin Ali, yang pernah menjadi Timbalan Presidennya, meninggalkan parti dan beberapa pemimpin kanan lain bergabung tenaga dengan Perikatan Nasional (PN).
Katanya, Azmin mampu menguasai PKR Selangor.
“Itulah sebabnya PKR Selangor tidak banyak ‘bising’ semasa Azmin memegang kuasa,” tambah beliau
Bagaimanapun pertelingkahan tercetus dalam parti peringkat negeri itu baru-baru ini.
Namun kata Chin, peluang PKR “sangat baik” untuk mengekalkan Selangor kerana ia mendapat sokongan kuat di negeri itu.
Parti itu mesti segera bertindak katanya, kerana pengundi tidak akan memilih parti yang tidak bersatu dengan pemimpinnya “saling menggugat”.
Sepanjang tahun lepas, Ketua Pemuda PKR Selangor Najwan Halimi adalah antara lima pemimpin belia yang dipecat daripada jawatan mereka sekali gus membawa kepada pertelingkahannya dengan Akmal Nasir, Ketua sayap itu.
Baru-baru ini, Ketua PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mencetuskan kekecohan apabila beliau mengumumkan hasrat untuk merebut jawatan Ketua Bahagian PKR Gombak daripada Amirudin Shari ketika pemilihan parti pada April.
Amirudin, yang dikaitkan dengan Azmin, adalah Menteri Besar Selangor, manakala Farhash adalah bekas pembantu Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Penganalisis sosiopolitik di Universiti Malaya Awang Azman Pawi berkata, beliau tidak percaya tindakan Farhash akan menjejaskan PKR Selangor kerana parti itu sudah bertapak di negeri itu.
“PKR masih menjadi pilihan rakyat Selangor kerana imejnya sebagai parti berbilang kaum dan dilihat lebih terbuka bagi golongan muda menyertai politik dan wacana politik,” katanya.
“Ini bermakna mereka menyelesaikan isu melalui demokrasi menerusi pemilihan parti, iaitu langkah terbaik berbanding bermuka-muka dan bersikap hipokrit,” katanya.