Berhati-hatilah apabila berlindung di bawah Khemah Besar




Oleh ISMAIL HASHIM YAHAYA / February 15, 2022

Adalah suatu menarik untuk diperhatikan dalam politik Malaysia sekarang beralih daripada Barisan, Pakatan atau Perikatan ke sebuah khemah tetapi sebuah khemah besar.

Ia bukan sesuatu yang baharu kerana di Indonesia perkara ini sudah berlaku. Di Indonesia, Nahdatul Ulama dianggap organisasi khemah besar. Di Amerika Syarikat (AS) parti Demokrat dan Republik dianggap parti khemah besar di mana banyak organisasi berteduh di bawahnya.

Cuma yang saya fikirkan khemah biasanya didirikan untuk sementara waktu dalam jangka masa pendek. Khemah bercuti di tepi pantai biasanya dalam dua atau tiga hari, Khemah kenduri kawin daripada pagi hingga ke petang. Khemah untuk sesuatu majlis atau aktiviti untuk pengunjung atau pelawat biasanya selama tiga, empat atau lima hari.

Adakah pendekatan PH dengan cadangan khemah besar untuk jangka waktu sementara: PRN atau PRU-15?

Tidak dipastikan idea siapakah ini sebenarnya yang mengaitkan khemah dengan politik. Kalau tidak silap, sejak April tahun lepas Pakatan Harapan (PH) telah menggunakan perkataan `khemah besar’ sebagai usaha menyatupadukan rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan masyarakat, tanpa mengira pegangan politik.

Perkara ini diformalisasikan oleh Majlis Presiden Pakatan Harapan dalam kenyataan yang ditandatangani oleh Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Amanah Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.

“Kami menegaskan kesediaan untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak, berdasarkan prinsip dan agenda Reformasi, demi kepentingan rakyat, tanpa melibatkan kleptokrat,”menurut kenyataan itu.

Presiden AMANAH, Haji Mohamad Sabu menegaskan, gagasan Khemah Besar atau Big Tent tidak lagi boleh menjadi slogan semata-mata tetapi perlukan pelaksanaan.

“Khemah Besar atau big tent ini perlu dilaksanakan bukan slogan semata-mata,” kata beliau dalam ucapan itu.

Penegasan ini dibuat oleh beliau ketika memberikan Pidato Presiden dalam Konvensyen AMANAH 2021 yang diadakan tidak berapa lama dahulu.

Dalam hubungan ini khemah besar, atau kelompok parti adalah merujuk kepada dasar parti-parti politik yang membenarkan atau menggalakkan pandangan pada spektrum yang lebih luas dalam kalangan anggotanya.

Gabungan dalam khemah besar agak longgar seperti membawa parti-parti kecil seperti Muda di bawah satu khemah atau pun parti besar yang tidak cukup kerusi untuk memerintah yang memerlukan koalisi parti-parti lain untuk membentuk kerajaan.

Bagaimana jika Umno diundang masuk ke kemah besar ini, suatu yang tidak dipersetujui oleh DAP. Adakah Umno akan tunduk kepada PKR dan DAP?

Biasanya khemah besar biasanya tidak berpintu, terbuka bebas keluar masuk atau mungkin khemah ini tertutup dengan penghawa dingin? Khemah besar tentu tidak dibocorkan bumbungnya kerana sudah terbuka kiri, kanan, belakang dan depan.

Namun timbul kebimbangan, Setiausaha Pemuda AMANAH Terengganu Muammar Qaddafi Mohd Nasir berkata, MUDA bukan sebahagian dalam PH dan dikhabarkan enggan menggunakan logo Pakatan Harapan.

Katanya, penyerahan enam kerusi oleh AMANAH dan DAP adalah satu pengorbanan yang cukup besar, apatah lagi calon bagi kerusi kerusi terbabit sudah diperuntukkan oleh kedua parti namun terpaksa diserahkan atas nama kesepakatan “Khemah Besar”.

Justeru, katanya MUDA dan Syed Saddiq khususnya perlu bekerja lebih kuat dalam mempastikan pengorbanan parti lain memberi ruang kepada MUDA yang sekaligus.

Khemah besar tidak bermakna ia hanya dijadikan tempat berlindung dan berteduh sementara atau mengambil kesempatan atas keikhlasan pihak pembangkang membuka ruang perkongsian demi mencapai matlamat murni menghapuskan amalan rasuah, menyingkirkan kleptorat dan kemenangan dalam pilihan raya.

Khemah besar juga menuntut perhormatan kepada pihak yang menawarkannya. Menyertai khemah besar tidak seharusnya telunjuk lurus kelingking berkait.

Khemah juga tidak kukuh sekiranya asasnya tidak kuat, ia boleh dilambung ribut atau tiupan kencang puting beliung yang menerbang pelitup atasnya dan merobohkannya. Maka berhati-hati apabila mendirikan khemah!

————–

Kolumnis adalah pensyarah di Jabatan Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).

 

No comments: