ABDULLAH MAT ISA
Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin mendakwa Ahmad Zahid
Hamidi pernah bertemunya untuk meminta campur tangan dalam kes mahkamah yang
dihadapi presiden Umno itu.
Muhyiddin berkata Ahmad Zahid melawatnya selepas dia dilantik
sebagai perdana menteri dengan membawa ‘fail bertimbun’.
“Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada
saya dan kata Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata
Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan)," kata Presiden
Bersatu itu semasa ceramah di Tangkak, Johor malam tadi.
Muhyiddin berkata dia memberitahu Zahid bahawa jika ahli
parlimen Bagan Datuk itu tidak bersalah, dia perlu melalui proses perbicaraan
di mahkamah.
Sementara itu, Muhyiddin juga mengulangi dakwaannya bahawa Najib
Razak ada meminta campur tangannya untuk menggugurkan Gopal Sri Ram sebagai
pendakwa raya dalam kes mahkamah yang dihadapinya.
Katanya, permintaan itu dibuat ketika Najib datang melawat di
pejabatnya untuk mengucapkan tahniah atas pelantikannya sebagai perdana
menteri.
“‘Bosku’ datang ke pejabat saya beri penghormatan sebagai
perdana menteri, dalam cerita punya cerita, dia cerita juga kes mahkamah.
“Kalau boleh minta saya keluarkan (Datuk Seri Gopal) Sri Ram.
Mana boleh, saya tidak akan buat macam itu.