Mengapa SPR tak benar pembangkang dapat daftar pemilih terkini?
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipersoalkan tindakannya kerana masih tidak membenarkan parti parti pembangkang mendapat Daftar Pemilihan Tambahan (DPT) biar pun dikatakan telah diwartakan pada 14 Januari lalu.
Pengarah Pilihan Raya Pusat KEADILAN, Fuziah Salleh mendakwa DPT yang mengandungi maklumat terbaharu pengundi sehingga Disember 2021 itu, tidak dapat dibeli oleh Pakatan Harapan biarkan senarai harga telah dikeluarkan SPR pada 7 Februari lalu.
“Pada 7 Februari 2022, SPR telah mengeluarkan senarai harga Daftar Pemilih Induk (DPI) 2021 untuk seluruh negara dan memaklumkan bahawa Daftar Pemilih Induk ini sudah sedia untuk dibekalkan kepada parti parti politik.
“Namun sehingga kini, sebulan selepas DPT BLN12/2021 diwartakan, SPR masih belum bersedia membekalkan senarai daftar tersebut kepada pihak yang ingin membeli.
“Apakah alasan sebenar kegagalan tersebut? Adakah ianya disebabkan data terdapat kesalahan atau ianya disebabkan SPR tidak mahu membekalkan senarai tersebut kepada pihak pembangkang? Atau apa sebenarnya? Berkali kali pihak unit data PH tidak dibenarkan membeli DPT BLN12/2021 dengan pelbagai alasan,” kata Fuziah dalam kenyataan hari ini.
Menurut Ahli Parlimen Kuantan itu lagi, DPT tersebut juga diragui kesahihannya kerana terdapat kecelaruan nama nama pengundi yang tidak membayangkan maklumat pengundi di Malaysia.
“Saya terima aduan dari unit data parti-parti PH berkenaan data yang pelik-pelik sebagai nama pengundi. Misalnya ‘Deceased’ dan ‘Expired’ sebagai nama pemilih.
“Maka saya sendiri membuat semakan pemilih di laman web SPR menggunakan sampel no kad pengenalan dari DPT tersebut. Ternyata aduan tersebut adalah benar,” katanya.
Hal sama tidak berlaku sebelum ini kerana menurut Fuziah SPR menyediakan Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) dalam tempoh tertentu dan parti parti politik atau individu boleh melakukan bantahan sekiranya terdapat data yang pelik sebagai maklumat pengundi.
“Sebelum ini SPR menyediakan RDPT setiap suku tahun yang dipamerkan kepada awam serta dibekalkan secara percuma untuk disemak oleh parti parti politik dan individu yang boleh membuat bantahan sebelum SPR mewartakan daftar pemilih tambahan tersebut.
“Akan tetapi amalan tersebut kini tidak lagi di teruskan. Dan Daftar Pemilih Tambahan terpaksa dibeli oleh parti politik dengan kos yang mahal. Parti politik tidak lagi dibenarkan menyemak kesahihahan daftar tambahan dalam bentuk RDPT yang dipamerkan.
“Ianya kini dipaksa untuk kami terima dan dipaksa pula untuk kami beli untuk tujuan menyemak,” katanya.
Sehubungan itu, Fuziah meminta SPR memberikan penjelasan menyeluruh mengenai DPT. Adakah hal tersebut merupakan kecuaian suruhanjaya itu atau terdapat isu isu lainnya.
“Ternyata apabila ianya tidak dipamerkan kali ini, terdapat nama-nama yang pelik dalam DPT bulan Disember 2021.
“Saya gesa SPR membuat kenyataan secara terbuka berkenaan integriti data yang telah pun diwartakan tersebut. Bagaimana SPR boleh mewartakan sesuatu data melibatkan lebih 5.8 juta pengundi, tetapi diragui kesahihannya?
“Dan adakah Pilihan Raya Negeri Johor yang akan berlangsung pada 12 Mac 2022 akan dikompromi keputusannya kerana terdapat ‘irregularities’ pada daftar pemilih yang telah di wartakan?” tanya Fuziah lagi.
Untuk rekod, daftar maklumat pengundi amat berguna untuk parti parti yang bertanding membuat culaan dan sebagainya. Sedekad lalu SPR pernah dipersoalkan kerana daftar mengadungi senarai pengundi hantu yang melibatkan berpuluh puluh nama didaftarkan dlaam satu rumah dan sebagainya. Bagaimanapun pembersihan daftar pada 2017 menyebabkan PH berjaya menewaskan BN dalam Pilihan Raya Umum 2018 lalu.