KENYATAAN MEDIA
Jingga 13 Negeri Johor
18 Februari 2022
"MUDA TIDAK PERLU LAH BERSIKAP SEPERTI BELANDA YANG MEMINTA
TANAH"
Tersebar luas di media sosial hari ini tentang sikap seorang
anak muda yang boleh dikatakan tidak tahu malu dan tidak mengerti apa itu erti
sebuah persahabatan dalam sebuah 1 unit pasukan.
Jangan lah bersikap seperti "Belanda yang meminta
tanah". Tiga kerusi yang ditawarkan oleh Keadilan pada rundingan yang lalu
sudah memadai. Mengapa perlu bersikap serakah dan celici? Sehingga berani
memberi ugutan kepada Parti Keadilan Rakyat.
Jingga 13 Negeri Johor berpendapat bahawa Presiden Parti Muda
itu seolah-olah ingin menjadi "Api Dalam Sekam". Baru sahaja ingin
bertanding di PRN Johor sudah mula ingin memecahbelahkan undi dan menunjukkan
taringnya sehingga berperangai seperti tidak menghormati Parti Keadilan Rakyat.
Jikalau begini permulaannya sudah pandai mengancam, mengugut tanpa sedikit rasa
bersalah, eloklah MUDA tidak perlu bertanding walau satu kerusi pun di Johor.
Sikap keterbukaan dan profesionalis serta berlapang dada juga
perlu ada dalam seseorang pejuang parti, bukan hanya tau mendabik dada, merobek
sebuah karya, menoda sebuah seni. Hidup baru sahaja ingin belajar memegang
sebatang pensel, menulis sahaja belum tentu boleh, apatah lagi mewarna. Jika
buruk tulisannya, maka buruklah pandangan orang terhadap seseorang itu kerana
tulisan juga melambangkan keperibadian seseorang. Kebiasaannya kita selalu
mendengar tentang perkataan "Orang muda yang berdarah panas". Ya !
Orang muda memang begitu, tapi kita tidak boleh melebihi yang lebih tua. Yang
tua perlulah dihormati. Semangat politik dalam diri YB Syed Saddiq itu
sememangnya bukan semua anak muda memilikinya, namun janganlah memburukkan imej
anak muda dengan kata-kata yang tidak melambangkan seorang anak muda yang tau
tentang erti peradaban.
Saya selaku Koordinator Jingga 13 Negeri Johor berharap agar YB
Syed Saddiq dapat bermuhasabah diri, dan janganlah bersikap seperti "Jawi
belang puntung : didahulukan dia menyepak, dikemudiankan dia menanduk".
Jadikan khemah yang ada ini sebagai tempat untuk bersilaturrahim, bukan tempat
mencipta musuh yang berpunca dari lidah sendiri.
Koordinator Jingga 13 Negeri Johor