Hadi beri peringatan, Allah laknat pemberi, penerima dan rakyat yang mengundi pemimpin rasuah
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, adalah mustahil untuk negara menghapuskan budaya rasuah jika pemimpinnya masih lagi mengamalkan politik wang.
Beliau menyifatkan langkah untuk mengekang aktiviti korupsi ketika ini hanyalah seperti menampar nyamuk di kawasan longkang yang terdedah sehingga membiakkan nyamuk berkali ganda banyaknya.
Justeru beliau mengingatkan, rakyat yang memilih pemimpin kerana politik wang yang berkonsepkan kebendaan pasti akan menempah kemusnahannya.
“Allah swt melaknat pelaku, penerima, pemberi dan semua yang terlibat dengan kegiatan rasuah, termasuklah rakyat yang melantik atau mengundi pemimpin dengan rasuah dan memilih yang mengamalkan rasuah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau juga mengingatkan bahawa Islam menunjukkan pendekatan politiknya dengan meletakkan rukun kehidupan manusia itu mengikut tertib maqasid al-syari‘ah iaitu memelihara agama, akal, keturunan, maruah dan harta.
Pada masa yang sama, meletakkan syarat integriti syakhsiah berprinsipkan aqidah agama, akhlak dan ilmu bermanfaat menjadi konsep tanpa mendahului harta, ujarnya.
“Hal ini demikian kerana, harta tanpa syakhsiah yang berintegriti tidak akan mampu menguruskan harta dan masyarakatnya. Akan tetapi, harta boleh dihasilkan dengan kemampuan ilmu dan syakhsiah yang berintegriti.
“Harta kekayaan sahaja tanpa integriti boleh merosakkan dan menghabiskan harta dengan sia-sia. Ilmu tanpa integriti menjadikan seseorang itu penipu, semuanya akan merosakkan diri, masyarakat dan negara,” katanya lagi