Mesyuarat Majlis Presiden
Pakatan Harapan (PH) petang ini telah memutuskan isu mengenai penggunaan logo
dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan akan diadakan pada bulan
hadapan.
Menurut Pengerusi PH, Datuk
Seri Anwar Ibrahim secara konsensus dipersetujui bahawa KEADILAN akan
menggunakan logo parti berkenaan dalam PRN tersebut. Sementara pembahagian
kerusi juga telah diselesaikan dalam mesyuarat selama hampir 3 jam itu.
"Keputusan kerusi PH
selesai, kita bertanding semua 56 kerusi oleh ketiga tiga parti PH tetapi kita
masih buka ruang untuk bincang dengan parti pembangkanag lain termasuk Muda.
"Logo kita putuskan
persetujuan bersama untuk gunakan PH dan untuk KEADILAN logo KEADILAN.
"(Maknanya) PH untuk DAP
dan Amanah manakala KEADILAN guna logo KEADILAN," katanya selepas selesai
mesyuarat di Ibu Pejabat KEADILAN, di Petaling Jaya.
Mengenai pertanyaan wartawan
parti pembangkang lain yang akan ikut serta sebagai sekutu PH dalam PRN,
menurut Anwar, keputusan muktamad belum dibuat namun katanya pintu rundingan
masih dibuka kepada semua parti pembangkang.
"Sedang bincang, kita
bincang dengan lain parti, semuanya. Kita buka ruang. Kita dari segi
pembangkang mahu bersatu mengalahkan (BN)," katanya.