Pakatan Harapan (PH) yang memutuskan untuk bersama parti parti
pembangkang lain seperti Pejuang dan Muda menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN)
Johor perlu berhati hati dalam melaksakan strategi 'khemah besar'.
Menurut mantan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri KEADILAN Johor,
Hassan Abdul Karim, PH terpaksa mencuba strategi khemah besar setelah kalah
dalam tiga siri PRN iaitu Sabah, Melaka dan Sarawak yang menyebabkan strategi
dilaung laungkan oleh DAP dan Amanah itu menjadi popular.
"Apabila Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor terbubar pada 22
Januari lalu dan PRN akan diadakan, maka Mohamad Sabu dari Amanah melanjutkan
strategi pemimpin-pemimpin DAP yang melaungkan tuntutan supaya PH membina
“Khemah Besar”.
"Kita sebenarnya tidak tahu apa yang dibincangkan di dalam
Mesyuarat Majlis Presiden PH pada 24 Januari di Ibupejabat KEADILAN di Petaling
Jaya.
"Yang kita ketahui di akhir mesyuarat itu dikeluarkan
kenyataan media ditandatangani oleh Presiden KEADILAN, Presiden Amanah,
Setiausaha Agung DAP dan Presiden UPKO yang antara lainnya menyebut PH
memutuskan untuk mengadakan persefahaman politik dengan parti-parti pembangkang
lain.
"Bagaimanapun di dalam kenyataan media itu tidak disebut logo
apa yang akan digunakan oleh PH di dalam PRN. Walaupun kemudian terbit
kenyataan di media sosial menyatakan PH akan memutuskan soal logo dalam masa
dua hari," katanya.
Namun menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang itu, strategi khemah
besar amat tidak popular dalam kalangan anggota KEADILAN dan tidak tahu
bagaimanakah penerimaan mereka, selepas khemah yang sama pernah dirobohkan oleh
Bersatu yang berkhianat pada Februari 2020 lalu.
Begitu juga, katanya, anggota KEADILAN mahu logo parti itu
digunakan sebagai logo bersama PH menghadapi PRN Johor.
Semua itu, kata Hassan ditanggung oleh Pengerusi PH, Datuk Seri
Anwar Ibrahim yang cuba mengimbangi di antara desakan dalaman dan juga desakan
rakan rakan komponen PH.
"Anwar amat tahu sikap dan pendirian anggota KEADILAN dalam
isu khemah besar yang sering dibawa oleh Liew Chin Tong dari DAP dan kini
dijeritkan pula oleh Mohamad Sabu, Presiden Amanah.
"Bukan satu rahsia lagi bahawa anggota dan penyokong KEADILAN
mendesak supaya logo parti itu digunakan oleh PH dalam PRN Johor
"Anwar cukup memahami perasaan aktivis-aktivis KEADILAN yang
semakin lantang bersuara “bukan kita tidak sayangkan PH tetapi kita lebih
utamakan kemenangan KEADILAN”," katanya.
Walau apa pun, menurut Hassan, hal yang paling utama perlu
dipertimbangkan secara rasional ialah berhati hati menghadapi cabaran dua parti
baharu yang mahu dijadikan sekutu oleh PH.
Katanya, PH perlu menimbang dengan cermat semua perkara dalam
merangka strategi kali ini agar tidak menimbulkan penolakan rakyat di Johor.
"Saya amat ngeri membayangkan KEADILAN dan PH kalah dalam PRN
Johor kerana strategi yang salah.
"Pertanyaan saya sebagai anggota KEADILAN yang minta Anwar Ibrahim
fikirkan ialah persoalan adakah PH dengan strategi khemah besar itu
menguntungkan KEADILAN?
"Saya percaya Umno dan BN boleh dikalahkan dalam PRN Johor.
Dengan KEADILAN yang memimpin PH dan menjadi tulang belakang, disertakan
strategi yang betul, kita boleh mengulangi kejayaan pada PRU-14 lalu iaitu
menewaskan BN dan berjaya mengambil alih kerajaan pusat di Putrajaya,"
katanya lagi.
Sejak pengumuman dibuat kelmarin, strategi khemah besar mendapat
sokongan dan bangkangan dalam kalangan anggota KEADILAN.
Namun kebimbangan utama adalah mengenai pembahagian kerusi, adakah
Pejuang dan Muda mempunyai jentera yang kuat di Johor?
Pada pendapat anggota KEADILAN sekiranya dua parti itu tidak
mempunyai cawangan yang signifikan, tentu sahaja kerusi yang boleh diberikan
kepada mereka terhad dalam jumlah kecil.
Tidak mungkin seperti pembahagian dalam PRU 14 lalu, Bersatu yang
tidak diketahui kekuatannya mendapat kerusi sama banyak dengan DAP dan
KEADILAN.