PETALING JAYA: Ahli Parlimen DAP, Teresa Kok menggesa Menteri Pendidikan menunjukkan pendiriannya dalam kes saman difailkan seorang guru terhadap pelajarnya kerana didakwa memfitnahnya berhubung “jenaka rogol” dibuatnya ketika kelas pendidikan jasmani.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata, ini lebih-lebih pula memandangkan Putrajaya di ambang membentangkan Rang Undang-undang Antigangguan Seksual di Dewan Rakyat.
Menurutnya, pelajar itu Ain Husniza Saiful Nizam juga menghadapi tekanan emosi teruk akibat perbuatan guru berkenaan.
“Perkara ini tidak boleh dipandang enteng. Saya minta Menteri Pendidikan, yang bertanggungjawab menjamin persekitaran selamat untuk pelajar, supaya meletakkan pendirian tegas berhubung tindakan undang-undang dikemukakan guru berkenaan,” katanya dalam kenyataan.
Guru itu, Khairul Nizam Sanuddin, 43, memfailkan saman di Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 26 Nov mendakwa Ain membuat kenyataan fitnah terhadapnya pada April di akaun media sosialnya dan dalam beberapa temu bual bersama media.
Beliau turut mendakwa bapa Ain, Saiful Nizam Abdul Wahab membuat kenyataan fitnah terhadapnya dalam kumpulan sembang WhatsApp dan halaman Facebooknya pada 24 April apabila menuduhnya membuat jenaka mengenai rogol.
Khairul menafikan berbuat demikian ketika kelas berkenaan, atau menggalakkan budaya rogol selain menambah kenyataan mereka itu mencemar reputasinya dan memalukannya.