PH gesa KPM bersikap lebih terbuka, sedia saluran khas untuk guru buat aduan

 



Oleh SITI NUR ZAWANI MISCON / December 1, 2021

Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mencadangkan supaya Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bersikap lebih terbuka serta menyediakan saluran khas bagi membolehkan guru-guru menyatakan pandangan berhubung permasalahan mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan PH, Dr Maszlee Malik berkata, ini susulan laporan bahawa beberapa orang guru telah dipanggil oleh Unit Integriti KPM kerana mengeluarkan pendapat kritikal agar KPM menambah baik perkhidmatan dan pelaksanaan polisi khususnya berkaitan beban guru.

Menurutnya, isu yang dibangkitkan oleh guru-guru yang terlibat bukanlah isu politik, salah laku (pecah amanah) mahupun gangguan seksual yang mampu menggugat profesionalisme seorang guru.

“Isu yang dibangkitkan adalah masalah asas sebenar yang berlaku di peringkat bawahan dan diangkat oleh guru-guru terlibat supaya pihak atasan lebih cakna untuk melakukan penambahbaikan.

“Malangnya KPM telah mengambil tindakan seolah-olah guru-guru terlibat melakukan kesalahan besar sehingga mereka dikenakan tindakan punitif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu Maszlee berkata, saluran yang disediakan nanti membolehkan guru menyampaikan pandangan mahupun kritikan kepada KPM untuk diambil tindakan.

“Di samping itu JKPPH juga mencadangkan agar para guru dapat menyalurkan juga pendapat dan aduan mereka kepada JK Pilihan Khas Pendidikan Parlimen Malaysia agar JK Pilihan tersebut dapat membawanya ke pihak KPM,” katanya lagi.