Oleh RAYMOMD LUI / November 24, 2021
Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia
(SPR) hari ini telah mengumumkan tarikh bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak
Ke-12 akan diadakan pada 18 Disember depan.
Pengerusi
SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, pihaknya telah pun menerima notis
pengisytiharan kekosongan Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh Speaker DUN
bertarikh 3 November 2021.
Justeru,
katanya SPR telah mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan tarikh PRN12
diadakan bagi mengisi kekosongan 82 DUN di negeri ini.
“Maka dengan ini kita menetapkan
tarikh PRN12 Sarawak akan diadakan pada 18 Disember 2021 manakala Hari Penamaan
Calon dilangsungkan pada 6 Disember 2021.
“Bagi
Hari Pengundian Awal pula, SPR menetapkan diadakan pada 14 Disember 2021,”
jelas beliau dalam satu sidang media di Kuching hari ini.
Jelas
beliau lagi, bagi menjalankan proses PRN12 Sarawak SPR telah melantik 82 orang
Pegawai Pengurus Pilihan Raya dibantu oleh 249 orang Penolong Pegawai Pengurus
untuk memantau semua aktiviti kempen pilihan raya sepanjang tempoh rasmi
berkempen
Malah,
tambahnya SPR turut menubuhkan 155 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya
(PP-KPR) yang akan dianggotai oleh wakil-wakil daripada pihak Polis Diraja Malaysia
(PDRM), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan wakil-wakil calon yang bertanding.
“Manakala
daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN12 kali ini
adalah Daftar Pemilih terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan (DPT) ST2/2021
yang dikemaskini sehingga 2 November 2021.
“Daftar Pemilih tersebut
mengandungi 1,252,014 orang pengundi yang terdiri daripada 1,228,858 orang
pengundi biasa, 12,585 orang anggota tentera dan pasangan, 10,458 orang anggota
polis PGA dan pasangan serta 113 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara.
DPPR tersebut akan mula dijual pada 1 Disember 2021,” ujarnya.
Justeru,
beliau berkata SPR menyasarkan 70 peratus pengundi akan keluar mengundi sekali
gus memohon kerjasama semua pihak termasuk pihak media dan parti-parti politik
agar turut mengambil langkah untuk menyeru dan menggalakkan pengundi supaya
keluar mengundi pada 18 Disember nanti.
Sebelum
ini, SPR telah menerima pemakluman rasmi daripada Ketua Menteri Sarawak, Datuk
Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung dengan perkenan Yang
di-Pertuan Agong untuk menamatkan Proklamasi Darurat (Sarawak) P.U. (A) Seksyen
2 (2) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021 (P.U.(A)324.
Berdasarkan
Seksyen 3(3) Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu)(Sarawak) 2021, Dewan Undangan
Negeri (DUN) hendaklah terbubar pada tarikh Proklamasi Darurat (Sarawak)
dibatalkan atau diiungkaikan.
Di
bawah Seksyen 3(4) Ordinan yang sama, berkehendakkan, suatu pilihan raya umum
hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari dari tarikh Proklamasi Darurat
(Sarawak) dibatalkan atau diungkaikan.
Proklamasi
Darurat di Sarawak telah dibatalkan pada 3 November lalu yang mana
perkara itu disahkan mengikut Warta Kerajaan Persekutuan Proklamasi Darurat
(Sarawak) (Pembatalan 2021) dikeluarkan Jabatan Peguam Negara.