Ubah strategi pasca PRN Melaka, bukan tunding jadi cari salah - MPN Johor

 


Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Johor kesal dengan sikap sesetengah pemimpin parti komponen Pakatan Harapan (PH) yang menunding jari menyalahkan Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai punca kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.


Kata MPN, semua keputusan penting mengenai PRN itu dibuat dalam mesyuarat dan pihak yang mempersoalkan perlu menghormati semangat perpaduan dan konsensus dalam PH.


"PH sentiasa dipandu atas keputusan kolektif. Maka menyalahkan hanya seorang individu sahaja sedangkan sebarang keputusan PH bukan bersifat keputusan tunggal, sebaliknya ia adalah keputusan kolektif yang perlu dipertanggungjawabkan kepada semua.


"Justeru, adalah sangat tidak wajar mana-mana pimpinan dalam komponen PH untuk menuding jari kepada Ketua Pembangkang seolah-olah segala keputusan dibuat atas kehendak beliau semata-mata. Jangan hanya menjulang nama Anwar Ibrahim ketika beroleh kemenangan, tetapi dijadikan kambing hitam setelah menghadapi kekalahan," kata MPN dalam kenyataan itu.


Menurut mereka lagi, pasca PRN Melaka adalah waktu untuk bermuhasabah dan ambil pengajaran daripada yang telah berlaku, sentiasa peka situasi semasa dan lakukan perubahan.


"Inilah masanya PH melakukan perubahan, khususnya dalam strategi memenangi hati pengundi luar bandar dan anak muda serta bagaimana untuk memastikan pengundi luar pulang mengundi bagi mengelakkan kekalahan dalam PRN berulang kembali.


"MPN KEADILAN Johor berdiri teguh di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengemudi PH untuk menghadapi PRU-15 yang bakal menjelang," kata mereka lagi.