Keputusan kerajaan Kedah
untuk melarang pengoperasian premis perjudian dengan tidak akan memperbaharui
lesen premis adalah tidak berperlembagaan, kata seorang peguam.
Syed Iskandar Syed
Jaafar al-Mahdzar berkata ini kerana kerajaan negeri pimpinan PAS itu akan
menghalang mata pencarian yang sah bagi ahli perniagaan yang beroperasi melalui
pelesenan.
“Tindakan tidak
memperbaharui lesen mereka sebenarnya bercanggah dengan Perkara 5 (hak untuk
sara hidup) dan Perkara 13 (hak kepada harta) dalam perlembagaan,” katanya
kepada FMT, sambil menambah perlembagaan adalah tertinggi kerana Malaysia
adalah sebuah negara sekular.
Peguam itu berkata ahli
perniagaan yang terjejas teruk boleh memfailkan semakan kehakiman selaras
dengan keputusan Mahkamah Persekutuan baru-baru ini (Anwar Ibrahim lwn Majlis
Keselamatan Negara).
Majoriti
berpendapat bahawa tiada tindakan boleh dikenakan terhadap negeri — kerajaan
persekutuan atau kerajaan negeri — atas dasar perlembagaan melainkan dia adalah
pihak yang terkesan.
Syed
Iskandar berkata demikian sebagai respons kepada pengumuman Menteri Besar Kedah
Muhammad Sanusi Md Nor baru-baru ini bahawa negeri itu akan melarang operasi
semua premis perjudian di negeri itu dengan tidak memperbaharui lesen
perniagaan mereka yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Sanusi berkata negeri itu juga
akan memperkenalkan sekatan terhadap penjualan arak di kawasan luar bandar
Kedah.
Syed
Iskandar berkata negeri itu boleh menggunakan enakmen jenayah syariahnya untuk
memantau orang Islam yang mengunjungi kedai judi dan membeli serta meminum
arak.
“Malah dalam perkara itu, penguatkuasaan mesti mengikut parameter Perlembagaan Persekutuan,” tambahnya.