KERAJAAN MESTI TOLAK RUMAH RM100 JUTA NAJIB, KALAU TIDAK, ISMAIL SABRI PUN WAJIB DIJATUHKAN

 

Hanya ada dua pilihan yang wajib diambil Ismail Sabri Yaakob dalam isu rumah bernilai RM100 juta melibatkan Najib Razak sekarang ini.

Pertama, menolak permintaan tersebut dan kedua, segera membatalkannya sekiranya permohonan itu telah diluluskan.

Dengan kedudukan Najib yang sudah dijatuhi hukuman bersalah oleh mahkamah dan menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan beserta puluhan lagi kes berkaitan 1MDB masih berjalan di Mahkamah Tinggi, memenuhi permintaan itu bermakna Ismail Sabri jauh lebih tidak berguna lagi.

Kalau kepada Najib yang membuat permintaan tersebut pun sudah boleh membuatkan kita marah, tindakan Ismail Sabri memberi kelulusan atau tunduk kepada permintaan itu tentu lebih wajar menjadikan kita sangat membara seluruh jiwa.

Memberi sebuah rumah mewah bernilai RM100 dalam keadaan Najib sudah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta dengan jelas lagi terang akan memperlihatkan gambaran teruknya sebuah kerajaan yang sedang mentadbir negara ini.

Sekaligus ia turut menyerlahkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri yang terburuk sekali kewibawaannya yang Malaysia pernah ada.

Di mana-mana celah dunia sekali pun, tidak pernah kita dengar ada kerajaan atau Perdana Menteri meluluskan pemberian sebuah kediaman mewah kepada bekas seorang pemimpinnya yang sedang menuju ke penjara.

Kalau pun memang ada peruntukan untuk memberikan Najib sebuah kediaman atas kedudukannya sebagai bekas Perdana Menteri atau disebabkan beliau tiada kediaman, ia seharusnya dilakukan selepas Najib sudah bebas daripada sebarang sabitan dan perbicaraan di mahkamah, bukannya dalam keadaan sudah dijatuhi hukuman bersalah dan masih bersalah.

Jika begitu, perbicaraan dan hukuman yang dijatuhkan oleh mahkamah langsung tidak berharga apa-apa.

Sebab itu, jika akhirnya terbukti kerajaan meluluskan atau tunduk kepada permintaan Najib itu, MOU antara PH dengan Ismail Sabri tidak saja patut ditamatkan, bahkan Perdana Menteri sendiri wajib dijatuhkan.

Tiada guna lagi sebarang MOU dipertahankan kalau ia sekadar menjadi alat untuk Perdana Menteri kekal berkuasa, tiada ancaman dijatuhkan tapi menjadikannya bebas berbuat sesuka hati untuk membelanjakan wang rakyat.

Blok pembangkang selepas ini, malah harus mengumpulkan kekuatan untuk memulakan gerakan menjatuh atau menumbangkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.

Menjatuhkan seorang Perdana Menteri yang tidak berguna kerana tergamak membelanjakan wang rakyat untuk rumah mewah seseorang yang sudah dihukum bersalah bukan saja pasti akan mendapat sokongan majoriti rakyat, bahkan tidak mustahil mampu menarik sama sokongan daripada pemimpin dalam blok kerajaan sendiri.

Oleh itu, Ismail Sabri mesti segera bertindak menamatkan kemarahan rakyat dalam isu ini, kecuali jika beliau memang mahu menampah rekod sebagai Perdana Menteri yang khidmatnya tidak sampai 100 hari.

Jangan lupa, PN dan Mahiaddin Md Yasin tentu turut tidak setuju dengan pemberian rumah mewah kepada Najib itu.

PH menamatkan MOU dan PN menarik sokongan, apakah Ismail Sabri tak tergolek jadinya? –


 ShahbudinHusin 19/11/2021.



No comments: