Mana janji mahu siasat Pandora Papers? - Anwar

 


Sudah hampir dua bulan sejak isu Pandora Papers dibawa ke Dewan Rakyat namun ia masih tidak dibahaskan malah tiada juga kedengaran disiasat dilakukan oleh pihak berkuasa.


Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) mempersoalkan jaminan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menyiasat skandal berkenaan melibatkan beberapa jabatan yang masih belum menjadi kenyataan.


"Saya bangkitkan kes Pandora Papers baru baru ini. PM beri jaminan akan memanggil SPRM, bahagian siasatan jenayah, Bank Negara dan LHDN tetapi tidak ada sebarang maklumat.


"Tidak ada kesungguhan Bank Negara, SPRM, LHDN dan Jabatan Siasatan Jenayah, mungkin mereka lakukan tetapi kita minta penjelasan dibuat kerana jabatan ini juga ada yang terpalit beberapa tuduhan, termasuk yang terpalit dengan pertuduhan kepada keluarga mantan Gabneor Bank Negara.


"Saya minta kes ini kerana tidak mahu, (Ahli Parlimen) Pekan bangkitkan ini tiada kes. Saya rasa aneh kerana saya sebutkan Global Integrity pada 2019 itu meletakkan Malaysia paling tinggi aliran wang haram keluar, iaitu lebih RM130 bilion. Kalau ini dianggap ringan maka mala petaka negara ini.


"Ini bukan perkara baru, saya rumuskan terlalu lama pendedahan ini dibuat tetapi paling lembab diambil tindakan," katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan 2022 di Dewan rakyat, pagi tadi.


Selain itu, Ketua Pembangkang berkenaan juga membangkitkan Prosedur Operasi Piawai dalam Pilihan Raya Negeri Melaka yang membunuh demokrasi sehingga pembangkang kalah teruk kelmarin.


"Terkait dengan Majlis Keselamatan Negara (MNK) SOP PRN Melaka. SOP ditetapkan oleh MKN itu diikuti oleh SPR mengikut pengalaman banyak sekatan.


"Pilihan raya adalah kesempatan orang beri pencerahan, penerangan. Tetapi penerangan tidak dapat disampaikan melainkan dengan risalah saja, maka ada masalah.


"Oleh yang demikian mohon pertimbangan semula merobah peraturan ini supaya pilihan penerangan itu sesuai dengan democratic spirit. Untuk (PRN) Sarawak perkara ini harus disegerakan," katanya.