Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang menyifatkan cubaan
pihak tertentu yang meletakkan segala kesalahan terhadap Datuk Seri Anwar
Ibrahim di atas kekalahan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri Melaka
adalah satu perbuatan yang sia-sia.
Beliau sebaliknya berkata, terdapat banyak pengajaran yang boleh
diambil tanpa perlu menyalahkan mana-mana pemimpin PH, terutamanya kegagalan PH
sendiri dalam mengekalkan sokongan pengundi daripada Pilihan Raya Umum Ke-14
(PRU-14).
"Pertamanya, perlu ada perubahan gaya pemikiran politik oleh
semua pemimpin politik.
"Era hegemoni politik UMNO sepatutnya sudah tamat pada
pilihan raya umum 9 Mei 2018 di mana Pakatan Harapan menumbangkan Barisan
Nasional yang didominasi UMNO, tetapi PRN Melaka pada 20 November 2021 ini
seakan-akan menunjukkan kedatangan semula hegemoni politik UMNO.
"Perkara ini tidaklah benar dan dapat dilihat daripada undi
yang diraih daripada ketiga-tiga gabungan politik di mana Barisan Nasional
meraih 38.39 peratus atau 122,741 undi, Pakatan Harapan dengan 35.65 peratus
atau 113,968 undi, dan Perikatan Nasional dengan 24.47 peratus atau 78,220
undi.
"Penganalisa politik, Bridget Welsh, telah membongkarkan dua
tafsiran PRN Melaka, pertamanya bahawa UMNO telah kembali ke era hegemoninya
sebelum ini sedangkan perkara ini tidak tepat seperti yang dilihat daripada
hanya 38.39% peratusan undian yang diraihnya walaupun perkara ini membawa
kepada pertambahan lima kerusi, daripada 13 ke 18 kerusi; dan keduanya kononnya
MCA dan MIC kini berjaya kembali ke arena politik selepas memenangi dua dan
satu kerusi masing-masing, sedangkan MCA kehilangan sokongan di lapangan,
daripada 10 peratus ke 8 peratus undian, manakala MIC mengekalkan kadar
sokongannya pada 1% berbanding dengan Pilihan Raya Umum 14.
"Kita kini berada dalam situasi politik baharu di mana tidak
ada parti politik yang boleh mempunyai hegemoni politik, tetapi pada masa yang
sama, gaya fikir sebagai sebuah gabungan masih perlu dibangunkan memandangkan
ramai yang masih menggunakan pemikiran hegemoni politik lama.
"Walaupun kerajaan Pakatan Harapan sepatutnya menjadi yang
pertama untuk menerokai gaya fikir politik gabungan di Malaysia, ia telah gagal
untuk berbuat demikian lalu terperangkap dalam acuan politik hegemoni yang
diamalkan Barisan Nasional selama setengah abad yang lepas," katanya.
Jelasnya lagi, seorang Perdana Menteri PH sepatutnya bertugas
dengan cara berbeza dengan berbanding dengan seorang Perdana Menteri BN yang
didominasi UMNO, tetapi pemikiran ini berterusan dalam 22 bulan kerajaan PH
mentadbir daripada Mei 2018 sehingga Februari 2020.
"Dalam satu gabungan dengan hegemoni sesebuah parti, Perdana
Menteri membuat keputusan mengikut tahap penerimaan parti komponen yang lain.
"Dalam satu gabungan yang saksama pula, Perdana Menteri
perlulah berunding dan mencapai persetujuan parti komponen yang lain mengenai
pelantikan Menteri, pengagihan Kementerian, dan dasar-dasar yang akan
dilaksanakan.
"Pengakuan Muhyiddin Yassin semasa kempen PRN Melaka
menunjukkan dalam acuan “hegemoni” kerajaan gabungan ini, ada kemungkinan untuk
parti komponen untuk bergerak dengan cara yang menyimpang daripada matlamat
bersama gabungan tersebut, seperti penangkapan dan penahanan wakil rakyat parti
komponen atas tuduhan dibuat-buat berkenaan dengan aktiviti keganasan Tamil
Tigers di Sri Lanka.
"Pemikiran politik gabungan ini hanya boleh dicapai di bawah
PH dan bukanlah BN yang berteraskan hegemoni sesebuah parti," katanya.
Pada masa sama, katanya, PH juga perlu mengguna pakai peraturan
untuk persetujuan sebulat suara dalam Majlis Presidennya.
"Perkara seperti ini akan mengelakkan PH daripada membuat
kesilapan seperti menerima “katak politik” yang telah ditolak bulat-bulat dalam
PRN Melaka.
"PH tidak boleh hilang kedudukan moral, integriti, khidmat
demi rakyat dan bukannya diri sendiri dan juga pada masa yang sama perlulah
melihat diri kita semua pertamanya sebagai rakyat Malaysia dalam masyarakat
yang berbilang kaum, bahasa, agama, dan budaya," katanya.