Hadiah persaraan bernilai RM100 juta ditimbulkan oleh Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat pagi tadi.
Ahli Parlimen Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) bertanya apakah keperluannya Datuk Seri Najib Razak diberi hadiah persaraan sedangkan Perdana Menteri (PM) sebelumnya hanya menikmati pencen dan sedikit kemudahan kerajaan.
"Tentang perbelanjaan sumber manusia pasca perkhidmatan yang menjadi kontroversi baru baru ini, saya tegaskan bahawa ini bukan menyanggah secara peribadi Pekan (Najib Razak) tetapi prinsipnya, bagaimana mungkin satu kerajaan dan jemaah menteri dalam keadaan kemelut ekonomi yang parah sekarang boleh meluluskan wang begitu besar kepada seorang mantan PM.
"Saya faham semangat hutang budi dibawa mati tetapi ini beban kepada negara. Kalau ikut pengalaman mengenali tokoh-tokoh seperti Tunku Abdul Rahman, Tun Razak, orang orang ini tidak perlu dana kerana berkhidmat, kerana kasih kepada negara, ini bebeza dengan yang lain (terkemudian)," katanya.
Hujah Anwar dicelah oleh Ahli Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu yang mencadangkan PM sebelum Najib juga diberi hadiah atas jasa jasa mereka, termasuk Tun Mahathir perlu diberi sebanyak RM2 bilion kerana membangunkan ekonomi Malaysia.
Justeru, Anwar meminta menteri memberi penjelasan apa yang berlaku selanjutnya mengenai perhomonan hartanah oleh Najib berkenaan.
"Kita minta Menteri beri penjelasan apa yang berlaku. Apa yang diperoleh dan mengapa Jemaah Menteri boleh bersetuju dengan mudah atas kemudahan diberikan. Jemaah Menteri itu sebahagian besar dari parti Melayu dan Islam (yang sepatutnya mendahulukan rakyat)," katanya lagi.