Di sebalik keinginan di pihak Bersatu dan Pas serta sikap beberapa menteri UMNO yang masih berharap parti itu dapat bekerjasama dengan PN dalam menghadapi PRN Melaka, Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi nampaknya kekal dan tegas dengan pendirian BN tidak akan bekerjasama dengan sesiapa.
Beliau kekal mempertahankan pendirian UMNO dan BN akan bertanding secara solo sebagaimana pernah ditegaskannya sebelum ini.
Dalam penegasan terbaru, beliau sekali lagi mengulangi pendirian tersebut melalui coretan di media sosialnya.
Berikut adalah ketegasannya itu:-
Saya ulangi penjelasan UMNO menolak kerjasama politik dengan PPBM merupakan keputusan parti.
Ia keputusan akar umbi parti pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan juga oleh Majlis Kerja Tertinggi UMNO.
Ia sebuah ketetapan yang telah pun dimuktamadkan sejak kira-kira 7 bulan lalu iaitu pada Mac 2021.
PPBM bukan tidak maklum tentang itu, namun menjelang PRN Melaka mengadu domba konon ia keputusan solo Presiden UMNO.
Mengapa PPBM begitu sukar menerima hakikat bahawa ahli UMNO bertegas menolak PPBM?
Mungkinkah begitu terdesak mahu mempergunakan ahli UMNO sekali lagi seperti mereka lakukan pada PRU-14?
Memperdaya segelintir ahli UMNO menyokong PPBM dengan “kempen” PPBM mahu menyelamatkan UMNO.
Tetapi selepas apa yang rakyat alami dan saksikan selepas 9 Mei 2018, masih lakukah lakonan air mata mereka?
Masih relevankah pujuk rayu ke atas ahli UMNO selepas cuba membubarkan dan menghancurkan UMNO sejurus berkuasa?
Justeru, Presiden UMNO menghormati keputusan parti dan denyut nadi ahli parti iaitu tiada kerjasama politik dengan PPBM.
AHMAD ZAHID HAMIDI
Presiden UMNO
22 Oktober 2021.
Dengan penegasan ini, bahkan bahasa tulisannya juga amat mudah difahami, maka tak usahlah mana-mana pihak terus lagi menaruh harapan untuk melihat kerjasama UMNO dengan PN.
Pendirian UMNO nampaknya sudah tidak boleh diubah lagi, malah keinginan akar umbi di seluruh negara juga adalah begitu.
Mereka bukan saja tidak mahu UMNO bekerjasama dengan Bersatu, malah juga dengan Pas yang merupakan ahli rasmi gabungan PN.
Tidak kurang yang mengungkit sikap Pas yang tiada kesetiaan serta khianat dengan senyap-senyap menyertai PN, meski sewaktu masih bersama Muafakat Nasional atau MN hanya semata-semata kerana ketika itu Mahiaddin Md Yasin adalah Perdana Menteri yang memberi mereka banyak kesenangan dan jawatan dalam kerajaan.
Soal penting yang lain di sini, dengan ketetapan UMNO itu, ke manakah haluan beberapa kluster menteri UMNO dalam kabinet seperti Hishammuddin Hussein, Annuar Musa dan Shahidan Kassim yang beberapa hari kebelakangan ini terus galak mempromosi perlunya UMNO bekerjasama dengan PN dalam menghadapi PRN Melaka?
Adakah mereka nanti akan turun berkempen membantu calon-calon BN?
Ataukah selain membantu calon BN, mereka juga akan berkempen secara senyap-senyap untuk PN?
Atau barangkali kluster menteri akhirnya langsung tidak turun berkempen ke Melaka sebagai tanda protes kepada pendirian UMNO dan ketegasan Zahid Hamidi bertanding solo itu? – ShahbudinHusin 23/10/2021.