PH
guna ramuan pecah belahkan kelompok teras untuk berkuasa semula – Annuar
By
-
22 October 2021
KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH)
dilihat menggunakan agenda yang bersifat memecah belahkan solidariti kelompok
teras, iaitu Melayu, Islam dan Bumiputera untuk berkuasa semula.
Ahli Parlimen Ketereh, Tan
Sri Annuar Musa berkata, ia ramuan tepat dan merupakan percubaan memperkasa
semula Pakatan Harapan (PH).
“PH amat berharap dan
menanti-nantikan saat UMNO tidak lagi berada di dalam saf penyatuan ummah.
“Setakat ini muafakat Melayu
bersama rakan-rakan lain yang sederhana dan setiakawan Barisan Nasional (BN),
Perikatan Nasional (PN) telah berkali-kali menggagalkan perancangan ‘cikgu dan
maulana PH’,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk
Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengulangi pendirian parti yang dicapai menerusi
Perhimpunan Agung UMNO pada Mac lalu, tidak akan bekerjasama dengan parti
Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Beliau berkata demikian
selepas diminta mengulas mengenai kerjasama untuk Pilihan Raya Negeri (PRN)
Melaka yang akan diadakan pada 20 November depan.
Jelasnya, keputusan itu
muktamad.
“Untuk Bersatu kita telah
buat keputusan tidak akan pernah bekerjasama dengan mereka. Noktah!,” katanya.
Pada 4 Oktober lalu, Dewan
Undangan Negeri (DUN) Melaka dibubarkan selepas empat Ahli Dewan Undangan
Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri
Sulaiman Md Ali.
Keempat-empat mereka telah
memberikan sokongan kepada PH dengan menyatakan Sulaiman hanya menjadi boneka
kepada beberapa individu lain di Melaka.
Mereka adalah ADUN Sungai
Udang, Datuk Seri Idris Haron, Datuk Norhizam Hassan Baktee (Pengkalan Batu),
Datuk Noor Effandi Ahmad (Telok Mas) dan Datuk Nor Azman Hassan (Pantai
Kundor).
Suruhanjaya Pilihan Raya
(SPR) menetapkan 20 November depan sebagai hari pengundian bagi PRN Melaka dan
hari penamaan calon pada 8 November.