Dr Kamarul Zaman Yusoff
KUALA LUMPUR – Pas boleh menjadi penentu pada Pilihan Raya
Negeri (PRN) Melaka.
Pandangan itu dilontarkan penganalisis politik, Dr Kamarul Zaman
Yusof selepas meneliti keputusan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.
Katanya, Pas mampu menjadi penentu dan
boleh mengubah situasi.
“Sukar untuk difahami bila ada yang masih berani memperkecilkan
dan membuang terus Pas dari perkiraan mereka dalam PRN Melaka.
“Sepertimana yang kita semua tahu, dalam PRU14, PH (Pakatan
Harapan) hanya menang 15 kerusi manakala BN (Barisan Nasional) pula menang 13
kerusi di DUN Melaka.
“Tetapi tahukah anda jika BN dan Pas
bekerjasama dalam PRU14 lalu, PH sebenarnya hanya mampu menang 9 kerusi sahaja
di DUN Melaka?” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Kamarul Zaman berkata, enam daripada 15 kerusi yang dimenangi PH
dalam PRU-14 lalu sebenarnya kalah oleh gabungan undi BN dan Pas.
Kerusi-kerusi tersebut katanya adalah DUN Gadek, Durian Tunggal,
Kelebang, Duyong, Telok Mas dan Bemban.
“Memang benar situasi dalam PRU14 mungkin
agak berbeza dengan situasi sekarang, tetapi tidakkah anda mahu belajar dari
kisah silam yang memeritkan?
“Mengapa kita masih mahu memperjudikan nasib dan merisikokan
diri sendiri sedangkan kita tahu keadaan pasti akan berubah dengan wujudnya
perpaduan? ujarnya. – MalaysiaGazette