Panas! Najib berang dengan Hanipa, kau ni apa pun tak faham
Bekas perdana menteri Najib Razak menjelaskan dia ke Singapura untuk melawat anak bersalin selama 15 hari saja, bukan sebulan seperti didakwa anggota parlimen pembangkang.
Malah, katanya, tempoh itu termasuk kuarantin Covid-19.
“Kalau YB Sepang pandai matematik, ini adalah tempoh sehingga 15 hari termasuk tempoh kuarantin di sana.
“Kamu ni fikir zaman pandemik sudah berakhir ke? Kau ini apa pun tak faham. Hanya tahu main sentimen,” bidasnya, seperti dilaporkan Malaysiakini.
Katanya, dia akan ke Singapura selepas pilhan raya negeri Melaka pada 20 November.
“Jadi saya cadang ke sana pada 21 November dan pulang sebelum 5 Disember untuk saya serahkan kembali pasport pada 6 Disember,” tambahnya.
Hanipa di parlimen hari ini mempersoalkan kenapa kerajaan membenarkan Najib (BN-Pekan) ke luar negara selama sebulan untuk melawat anaknya Nooryana Najwa bersalin.
Menyifatkan Najib bukan bidan, Hanipa berkata Najib menjejaskan ekonomi negara dalam kes 1MDB dan tidak layak mendapat layanan istimewa.
Sementara itu, Najib juga berkata Hanipa keliru dengan berkata dia ke luar negara dengan kebenaran kerajaan.
Sebaliknya, kata Najib, perkara itu diputuskan oleh tiga hakim Mahkamah Rayuan secara sebulat suara.
“Jadi, buat apa kamu menyalak di Dewan Rakyat? Takde lagi isu penting negara ke?
“Kamu nak kerajaan campur tangan dalam urusan mahkamah atau keputusan hakim ke?” soalnya.