‘Jangan
susahkan orang susah’
Oleh FAZLI RADZI / October
27, 2021
Pengerusi Pakatan
Harapan (PH) Melaka, Adly Zahari menegaskan proses menyalurkan bantuan wang kepada
golongan rakyat yang susah perlu dipermudahkan tanpa mengira sokongan parti
politik.
Bekas Ketua Menteri itu
berkata, kerajaan PH negeri sebelum ini telah membuktikan hal tersebut apabila
bantuan kewangan bulanan dimasukkan terus ke dalam akaun bank penerima
terbabit.
Tegasnya, langkah itu dibuat
bagi memudahkan urusan penerima bantuan yang terpaksa berulang-alik ke pejabat
Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) setiap
bulan untuk mendapatkan wang bantuan.
“… susah pergi dapatkan
bantuan kebajikan, dia susah dia layaklah. Tak payah berkira. Tidak perlu ambil
kira (sokong) parti politik. Itu yang sepatutnya kita buat.
“Saya sudah arahkan semasa kita
memerintah 22 bulan dulu, saya tidak benarkan orang susah ini bahkan kadang-kadang
uzur, tiap-tiap bulan kena pergi Japerun, ambil RM200, tidakkah menyusahkan
mereka?
“Jadi,
buka saja akaun, semua dalam Melaka ini, 28,000 orang ketika itu terima duit
dalam akaun mereka setiap bulan. Bukankah senang?” katanya.
Bagaimanapun,
Adly yang juga Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Melaka berkata, sejurus
kerajaan PH negeri ditumbangkan, prosedur pemberian bantuan kembali
menyusahkan.
“Inilah
birokasi yang kita hendak buang. Kita dah buang. Bila kerajaan kita jatuh, dia
(Umno) buat kembali perangai lama,” kata Naib Presiden AMANAH itu lagi.
Untuk rekod, hanya selepas dua
bulan PH Melaka memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 2018,
pembayaran secara tunai bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dihentikan.
Melaka diterajui Adly ketika itu telah memudahkan penerima terbabit untuk mendapatkan wang bantuan masing-masing apabila menyalurkan terus ke dalam akaun bank penerima mulai Julai 2018.