Gagal pinda Perlembagaan: PN tak serius kembalikan hak Sarawak
Isu pindaan Perlembagaan Persekutuan berkenaan taraf Sabah dan Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilihat tidak ditangani secara ikhlas oleh Kerajaan Perikatan Nasional 2.0 (PN) dan Gabugan Parti Sarawak (GPS).
Ketua Penerangan Majis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sarawak, Abun Sui Anyit berkata, sekiranya GPS dan Kerajaan PN ikhlas terhadap isu pindaan maka hal itu boleh diselesaikan mengikut jadual kerana hanya proses ulangan percubaan pindaan ketika Pakatan Harapan mentadbir negara pada 2019 lalu.
“KEADILAN Sarawak merakam rasa kecewa dan sangsi terhadap usaha Kerajaan PN tentang isu yang berkaitan dengan Malaysia Agreement 1963 (MA63) terutamanya pindaan Perlembagaan Malaysia berkaitan.
“Rakyat Sarawak turut kecewa kerana Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan seperti di dalam media baru-baru ini bahawa MA63 terpaksa ditangguhkan pembentangannya (sepatutnya 26 Oktober) ke satu tarikh yang belum ditentukan,” katanya dalam satu kenyataan.
Bagi MPN Sarawak, ujar Abun, alasan penangguhan untuk menunggu nasihat Peguam Negara dan ada Menteri Kabinet yang masih memerlukan penerangan lanjut tidak cukup kuat memandangkan perkara itu telah pun dibangkitkan dalam pertemuan antara kerajaan dan wakil PH dalam perbincangan memoradum kerjasama sebelum ini.
“KEADILAN Sarawak dalam hal ini menggesa agar Wan Junaidi mendedahkan Menteri-menteri yang bertanggungjawab menangguhkan pembentangan rang undang-undang MA63.
“Jika tidak, memang secara kolektifnya Kabinet Malaysia bertanggungjawab sepenuhnya di atas kegagalan ini. Lebih-lebih lagi Menteri Undang-Undang, Wan Junaidi dan Menteri Hal Ehwal Sabah dan Sarawak Datuk Maximus Johnity Ongkili.
“Kerja-kerja atau alasan-alasan yang diberikan oleh Menteri sepatutnya diselesaikan sepenuhnya sebelum membuat pengumuman MA63 bakal dibentang pada 26 Oktober untuk bacaan kali pertama, dan bacaan kali kedua pada 28 Oktober,” katanya.
Bagaimanapun KEADILAN Sarawak, menurut Abun, mengucapkan penghargaan kepada PH yang kelihatan benar-benar ikhlas memperjuangkan MA63 dan telah mencadangkan agar MA63 dimasukkan ke dalam Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada 13 September lalu antara Kerajaan dan PH.
“PH seterusnya menunjukkan keikhlasan dengan membuat komitmen untuk terus memperjuangkan MA63 untuk kebaikan Sabah dan Sarawak bagi mengembalikan taraf Sabah dan Sarawak sebagai rakan setara Semenanjung di dalam Persekutuan Malaysia.
“Justeru, KEADILAN Sarawak menggesa Ketua Menteri selaku Pengerusi GPS Sarawak dan Menteri Wan Junaidi jangan bermain-main dengan perasaan rakyat Sarawak yang semakin lama semakin celik akan hak mereka terutamanya berkaitan MA63,” katanya lagi.