oleh Ghafar NS
Jika Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin benar-benar bimbang risiko penularan baharu Covid-19 dalam pilihan raya Melaka, beliau sepatutnya tidak membenarkan langsung pilihan raya ini diadakan.
Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata, DAP mengecam pengumuman Khairy baru-baru ini yang melarang semua perjumpaan fizikal dan majlis sosial berkaitan pilihan raya Melaka, termasuk pelancaran jentera pilihan raya parti bermula 25 Oktober hingga 27 November 2021.
Tambahnya, parti-parti kerajaan mungkin takut hadapi pengundi kerana menyebabkan kejatuhan kerajaan negeri Melaka serta gagal dalam menguruskan pandemik Covid-19 dan kemerosotan ekonomi.
“Tetapi kerajaan tidak boleh melanggar demokrasi dan mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya dalam mewujudkan pilihan raya yang adil, bebas dan saksama.
“Khairy tidak berani membantah pilihan raya ini diadakan, sebaliknya menggunakan taktik yang tidak beretika serta berat sebelah lalu menguntungkan kerajaan.” Kata Ahli Parlimen Bagan itu juga.
Guan Eng juga berkata tindakan Khairy yang mengambil alih peranan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dilihat mempersenda demokrasi dan keseluruhan proses pilihan raya ini.
“Peguam DAP akan diminta untuk mengkaji larangan dan sekatan berat sebelah kepada calon untuk bertemu pengundi ini, sama ada sah dan mematuhi peraturan pilihan raya.
“Satu mesyuarat antara pemimpin DAP dan PH akan diadakan bagi membincangkan sekatan yang tidak adil dan dilihat bertujuan melumpuhkan pembangkang, serta memberi kelebihan awal pada pihak kerajaan.” Tegas Guan Eng.