KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH)
mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang
akan melaksana sejumlah penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran Kerajaan.
Ketua
Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah satu permulaan yang
baik susulan daripada pertemuan beliau dan pimpinan PH bersama Ismail Sabri
pada 25 Ogos lalu.
Namun
jelas beliau, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan
yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan
keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman
ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.
“Justeru
itu, antara lain Pakatan Harapan turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak
RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.
“Keutamaan
Pakatan Harapan semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan
program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40,
dan kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari
ini.
Berhubung
isu usul undi percaya terhadap perdana menteri, Anwar berkata, PH melihat
bahawa masih wujud keperluan ianya diadakan secepat mungkin pada sidang
Parlimen akan datang.
Ini
kerana jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu, ia berdasarkan titah Yang
di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di
Istana Negara pada 17 Ogos lalu bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah
mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.
Pada
masa sama, kata Presiden PKR itu, PH akan terus memainkan peranan sebagai
pembangkang dengan menekankan isu tatakelola Kerajaan yang baik serta ketegasan
membasmi rasuah.
“Wajar
ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal, dan akan
memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak Eksekutif.
Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan,” katanya yang juga Presiden
PKR. – MalaysiaGazette