MGF25082021__ANWAR-GUANENG-JUMPA-PM8-1


KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan (PH) mengalu-alukan kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang akan melaksana sejumlah penambahbaikan bagi Parlimen dan pentadbiran Kerajaan.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia adalah satu permulaan yang baik susulan daripada pertemuan beliau dan pimpinan PH bersama Ismail Sabri pada 25 Ogos lalu.

Namun jelas beliau, proses perbincangan masih berjalan untuk mencari titik persamaan yang terbaik bagi menangani krisis pandemik Covid-19, menjaga nyawa dan keselamatan diri dari ancaman wabak dan membebaskan rakyat dari cengkaman ekonomi berikutan kehilangan pendapatan dan pekerjaan.

“Justeru itu, antara lain Pakatan Harapan turut mengusulkan peruntukan tambahan sebanyak RM45 bilion untuk segera meringankan beban hidup rakyat.

“Keutamaan Pakatan Harapan semestinya berteraskan reformasi Parlimen, reformasi fiskal dan program pro-rakyat termasuk moratorium pinjaman bank buat golongan M40 dan B40, dan kebebasan institusi kehakiman,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Berhubung isu usul undi percaya terhadap perdana menteri, Anwar berkata, PH melihat bahawa masih wujud keperluan ianya diadakan secepat mungkin pada sidang Parlimen akan datang.

Ini kerana jelas Ahli Parlimen Port Dickson itu, ia berdasarkan titah Yang di-Pertuan Agong kepada ketua-ketua parti politik sewaktu sesi menghadap di Istana Negara pada 17 Ogos lalu bagi mengabsahkan bahawa Perdana Menteri telah mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Pada masa sama, kata Presiden PKR itu, PH akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang dengan menekankan isu tatakelola Kerajaan yang baik serta ketegasan membasmi rasuah.

“Wajar ditegaskan tuntutan agar pembangkang diberi layanan setimpal, dan akan memainkan peranan sewajarnya dalam menyemak dan mengimbangi pihak Eksekutif. Kami akan sentiasa lantang memperjuangkan keadilan,” katanya yang juga Presiden PKR. – MalaysiaGazette