Saya tak suka menuduh pemimpin PAS ini menipu. Tapi kalau tidak dikatakan menipu, kita nak kata apa?
Isu RUU355 adalah contoh teragung perjuangan PAS yang dahulunya diperjuang bagai nak rak. Seolah dunia dah nak kiamat keesokan harinya kalau RUU355 tidak diluluskan di Parlimen.
Tapi apabila peluang dah ada di hadapan mata untuk meminda Akta 355 tersebut, mereka sendiri yang persia-siakan. Bentang, tangguh, kemudian bentang lagi, dan kemudian tangguh semula.
Bahkan sebenarnya isu RUU355 bermula dengan EKJS II yang diluluskan di DUN Kelantan lagi, konon sekiranya tak terlaksana ‘hudud’ di sana, MB sendiri sanggup meletak jawatan. Itu cerita 2015.
Kemudian baharulah membawa kepada pindaan Akta 355 di Parlimen. Ironinya, PAS menafikan bahawa pindaan Akta 355 tersebut adalah berkaitan ‘hudud’ walhal, hampir semua orang tahu bahawa perjuangan RUU355 versi PAS tersebut adalah bagi membolehkan EKJS II di Kelantan itu dikuatkuasakan.
Dari sudut itu pun sebenarnya PAS telah terperangkap dengan agenda ciptaan mereka sendiri. Sebab itu semasa awal-awal RUU355 dibawa menerusi usul persendirian Ahli Parlimen Marang, cadangan pindaan mereka sangat kabur.
Hanya setelah beberapa kali cubaan pembentangan di Parlimen baharulah cadangan pindaan dibuat lebih spesifik iaitu untuk menambah takat hukuman daripada 3 tahun penjara, denda sehingga RM5000 dan sebatan tak lebih 6 kali, kepada hukuman penjara tidak lebih 30 tahun, denda sehingga RM100 ribu dan sebatan tak lebih 100 kali.
Pun begitu, PAS masih berdalih konon ianya bukan ‘hudud’ sebaliknya hanyalah ‘takzir’ yang ditentukan pemerintah. Justeru kenapa berjanji untuk meletak jawatan MB Kelantan pada 2015, kalau bukan untuk bolehkan EKJS II atau Hudud dilaksanakan di Kelantan?
Kenapa perlu geger seluruh dunia seolah Kelantan sudah amat bersedia untuk laksanakan Hudud, tetapi sebenarnya pindaan yang dibuat menerusi RUU355 di parlimen hanya untuk memperkukuhkan lagi pelaksanaan ‘takzir’ semata-mata?
Bukankah terlalu ironi perjuangan Hudud dan RUU355 yang diperjuangkan oleh PAS?
Nah, setelah RUU355 yang diperjuangkan PAS sebelum PRU 14 menemui jalan ‘mati’, disebabkan kegagalan PAS sendiri untuk ‘berpakat’ dengan UMNO untuk realisasikan di Parlimen, dan setelah puas ‘mengerah’ ahli PAS berhimpun di Padang Merbok, mereka desak pula supaya kerajaan PH untuk memberi ruang kepada RUU355 dilaksanakan.
Walhal PH daripada awal tidak pernah bersetuju dengan cara yang dibawa oleh PAS dalam isu RUU355 tersebut.
Dari awal lagi sebahagian pemimpin PH telah jelaskan bahawa RUU355 perlu dibawa secara teratur dan berhikmah tanpa perlu dipolemikkan demi kepentingan politik semata-mata. Perlu pendekatan lebih holistik bagi memastikan pelaksanaan pindaan Akta 355 tersebut mengikut lunas perlembagaan apatah ianya turut melibatkan bidangkuasa negeri-negeri dan terkait kuasa Raja-raja Melayu sendiri.
Tetapi apa kata pemimpin PAS ketika itu? Sewenangnya mereka tuduh pemimpin PH sebagai penentang hukum Islam dan lebih parah, ada di kalangan pimpinan PAS yang mengancam untuk ‘menjiratkan’ pemimpin PH!
Nah, hari ini, kita dapat saksikan permainan kata-kata pemimpin PAS sendiri yang konon RUU355 dikatakan tidak boleh dibuat secara tergesa-gesa?
Apa dah jadi dengan janji dahulu konon untuk meletak jawatan jika Hudud tak terlaksana di Kelantan? Kenapa dahulu begitu tergesa-gesa mendesak pindaan Akta 355?
Kenapa dahulu menuduh pihak tak bersetuju dengan cara PAS atas alasan sama yang pemimpin PAS beri hari ini, sebagai penentang Islam? Kenapa hari ini tidak boleh pemimpin PAS tersebut dituduh penentang Islam kerana berkata RUU355 tak boleh tergesa-gesa?
Sebab itu saya tanya, kalau tidak boleh dikatakan PAS menipu, kita nak kata apa?
MUHAMAD FADZIL AHAMAD
Peguam