Sebagaimana kita semua sedia maklum, Ismail Sabri Yaakob dilantik sebagai Perdana Menteri berdasarkan sokongan 114 Ahli Parlimen yang dimilikinya.
Dikira daripada 220 Ahli Parlimen yang ada sekarang, jumlah 114 itu adalah lebih tiga undi daripada majoriti paling minimum sebanyak 111.
Dengan sokongan 114 itu, jika benar ia asli dan diperolehi dengan cara betul, tidak ada sebab untuk beliau takut membentangkan usul undi percaya di Parlimen bagi memastikan kedudukan tidak lagi menjadi pertikaian.
Lagi pula, mengikut kiraan hari ini, termenjadinya beliau sebagai Perdana Menteri baru memasuki hari yang ke-19.
Amat mustahil sebenarnya dalam tempoh sesingkat ini sudah timbul ketakutan dalam diri Ismail Sabri tentang kemungkinan berlaku perubahan sokongan terhadapnya.
Apabila Yang Dipertuan Agong sebelum ini menitahkan agar Perdana Menteri baru yang dilantik baginda selepas perletakan jawatan Mahiaddin Md Yasin perlu membentangkan usul undi percaya, ia tidak lain adalah untuk mengesah dan mengabsahkan sokongan majoriti yang dimilikinya.
Dengan adanya keabsahan itu, kedudukan Perdana Menteri tidak lagi menjadi pertikaian dan membolehkannya mentadbir negara dengan selesa serta aman.
Lainlah jika mandat menubuhkan kerajaan itu cukup besar dan ia benar-benar diperolehi melalui pengundian dan kemenangan dalam PRU, maka mengabsahkan kedudukan Perdana Menteri di Parlimen tidak lagi bukan lagi menjadi suatu keperluan.
Begitu pun, Tun Hussein On dan Tun Abdullah Badawi telah menunjukkan jiwa besar mereka, di sebalik mandat besar yang sedia dimiliki kerajaan ketika itu, tetapi membenarkan usul undi percaya dibawa di Parlimen.
Dalam kes Ismail Sabri, sudahlah UMNO kalah PRU14 lalu, bersama sokongan 114 Ahli Parlimen terhadapnya itu, Agong sebenarnya adalah berniat amat suci apabila menitahkan perlunya usul undi percaya dilaksanakan dengan secepat mungkin.
Ia agar Perdana Menteri selepas itu selesa mentadbir negara dan tidak menerima nasib seperti Mahiaddin yang berterusan dipertikaikan kerana sikapnya yang bukan saja enggan membenarkan usul undi percaya, malah menggantung Parlimen juga.
Tambahan lagi, yang dititahkan Agong ialah usul undi percaya, bukannya usul undi tidak percaya.
Ismail Sabri mungkin wajar berasa bimbang tentang nasib masa depannya jika Agong bertitah mahukan usul undi tidak percaya dikemukakan terhadapnya.
Bermakna dengan titah usul percaya itu, Agong lebih mempercayai dan meyakini Ismail Sabri, cuma kedudukannya itu perlu diabsahkan di Parlimen sebagai sebahagian proses demokrasi dan bagi memenuhi kehendak Perlembagaan.
Lantaran itu, dengan sokongan majoriti sedia ada 114 yang dimilikinya, tidak ada sebab sama sekali Ismail Sabri jadi takut dan tidak berani berdepan usul undi percaya.
Takkan Perdana Menteri dengan segala kuasa yang ada bak Maharaja tidak mampu menjaga 114 orang cuma?
Kalau 114 pun tak mampu dijaga, bagaimana mahu menjaga puluhan ribu pengundi di kawasan Parlimen dan jutaan rakyat lagi bagi memastikan parti mampu menjadi pilihan dalam PRU akan datang?
Atau mungkinkah angka 114 itu merupakan sokongan palsu, paksaan dan diperolehi melalui tekanan?
Selebihnya, lekeh sangatlah Ismail Sabri jadi Perdana Menteri, jika belum sampai sebulan memegang jawatan penuh kekuasaan, tetapi tiada kewibawaan dan kecerdikan untuk menjaga hanya 114 Ahli Parlimen yang menjadikannya sebagai orang paling berkuasa dalam negara. –
ShahbudinHusin 08/09/2021.