‘Demam’ jika tak bergurau, saya mahu jadi diri sendiri, Sanusi beritahu pengkritik
ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor memberi alasan beliau akan “demam” jika tidak bergurau dalam sehari, sambil menyifatkan gurauan menjadi bentuk terapi untuk keluar daripada tekanan.
Sanusi berkata demikian sebagai tindakan mempertahankan dirinya yang kembali diserang pembangkang di persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, yang membangkitkan semula gurauan membabitkan dirinya berkenaan “mayat dalam kontena, nak masuk bagi nama”.
Beliau berkata, gurauan berkenaan sebenarnya ditujukan kepada wartawan yang dikenalinya.
“Itu bergurau dengan wartawan, bukan bergurau dengan hang pun (anda), saya tak bergurau dengan hangpa (kamu). Jadi, saya bergurau dengan wartawan itu, hangpa kalut apa? Orang Johor, orang Selangor, orang Kuala Lumpur, dok kalut, aku bergurau dengan wartawan aku, dia tak kata apa pun, dia gelak lagi,” katanya dalam sidang media secara maya.
Sanusi berkata, beliau mempunyai hubungan akrab dengan wartawan dan dalam sidang maya berkenaan menyebut beberapa nama wartawan di negeri itu, sebagai bukti hubungan mesranya dengan mereka.
“Jadi konteks itu dipetik di luar konteks, saya bergurau dengan dia, lepas itu adalah lagi ‘conversation’ (perbualan) yang lain, orang lain dah potong ambil yang banyak itu sahaja,” katanya.
Terdahulu, Sanusi yang juga ADUN Jeneri berkata, beliau hanya menurut nasihat orang tua, yang mahu beliau menjadi diri sendiri dan tidak perlu berlakon depan orang ramai.
“Saya dipesan oleh orang tua-tua, ‘be yourself’ (jadi diri sendiri) tak payah berlakon jadi orang lain. Jadi kalau saya suka bergurau saya bergurau sahajalah. Tapi jika mereka nak ambil guraan itu secara serius, terpulanglah pada mereka.
“Saya tidak akan bekerja dalam keadaan berlakon. Saya sayalah, depa depalah (mereka merekalah). Jadi tak payah bubuh skema nak saya bekerja macam mana kan. ‘Be myself’ (jadi diri sendiri), ‘I be myself’ (saya jadi diri sendiri), orang tua-tua juga pesan ‘be yourself’. Tak payah berlakonlah,” katanya.
Sanusi juga menyatakan kekecewaannya terhadap ADUN pembangkang yang terus mempertikai peribadinya di DUN Kedah.
“Jadi, mereka nak pertikai peribadi sehingga nak bawa ke dalam Dewan, saya rasa terlalu besar la kan, ‘no’ (setuju tak).
“Dewan ini tempat kita bincang hal negeri, bincang hal ehwal rakyat, bukan bincang watak MB itu, Watak dia itu Tuhan dah jadikan dia macam itu, macam mana nak buat,” katanya.
Beliau turut mengimbau kembali perbualannya bersama seorang pemimpin yang dikatakan ‘cengei’ atau garang.
“Saya pun pi habaq (pergi beritahu) kat (pada) dia, lepas itu dia kata hang (kau) tau (tahu) aku umoq (umur) berapa? Saya kata 70 tahun. Dah (sudah) perangai macam ini, tau-tau 70 tahun, hangpa suruh ubah la nie (sekarang juga), mampuih (matilah) la aku. Saya lebih kurang macam itu lah,” katanya.
Katanya, beliau bukan seorang bangsawan dan tidak tahu mengendalikan dirinya seperti golongan elit.
“Suruh saya cakap bahasa bangsawan, saya mana reti (tahu). Saya cakap bahasa sayalah,” katanya.