UMNO BAKAL MELINGKUP : Ku Li letak jawatan Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat UMNO

 

Afiezy Azaman

Ku Li letak jawatan Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat UMNO
Tengku Razaleigh Hamzah meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat UMNO susulan kecewa dengan parti itu yang memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tengku Razaleigh Hamzah meletak jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Jemaah Penasihat UMNO susulan kecewa dengan parti itu yang memberi sokongan kepada kerajaan sedia ada.
Dilaporkan surat peletakan jawatan Ahli Parlimen Gua Musang itu telah diserahkan kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, pada Isnin lalu.
Perkara itu disahkan oleh sumber rapat dengan Tengku Razaleigh atau Ku Li kepada Astro AWANI, pagi ini.
Menerusi surat peletakan jawatan yang dilihat Astro AWANI, Tengku Razaleigh berkata Perhimpunan Agung UMNO 2020 telah meluluskan sebulat suara usul untuk memutuskan sebarang kerjasama dengan Parti Bersatu.
“Tetapi usul itu telah mengambil masa untuk dilaksanakaan tetapi bisa usul itu apabila dikuatkuasakan memberi kesan segera dalam mana pimpinan yang tidak mempunyai sokongan sebagaimana dikehendaki oleh Perlembagaan Persekutuan dan kerajaan pimpinannya terpaksa meletak jawatan tanpa tunggu pengundian menolaknya di Dewan Rakyat.
“Sudah tentu pimpinan yang dipilih dan anggota kerajaan yang menggantikan kerajaan ‘gagal’ telah direstu oleh pimpinan UMNO walaupun rata-rata orang ramai dan akar umbi parti menzahirkan kekecewaan mereka kerana hampir semua jawatan dipenuhi oleh mereka daripada kalangan kerajaan ‘gagal’.
“Bolehkah mereka ini bantu parti kita tebus kekalahan kita dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) dan akhiri Parlimen yang tergantung? Bolehkah kita bergantung harap kepada mereka ini memberi kemenangan kepada parti kita dalam PRU15 nanti? Soal Ku Li dalam surat tersebut.
Justeru itu, Tengku Razaleigh menambah, beliau memutuskan untuk meletak jawatan sebagai Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO.
“Dengan surat ini saya memohon untuk berundur daripada jawatan Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, jawatan yang tidak berperlembagaan, berkuat kuasa mulai tarikh surat ini.
“Saya suka juga mengambil kesempatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kerana memberi saya kesempatan memainkan peranan yang kecil dalam perjalanan parti kita,” ujarnya.