Azalina Othman Said berkata, Speaker Dewan Rakyat meminta beliau menggalas jawatan Timbalan Speaker buat sementara di bawah Peraturan Mesyuarat 7(3).
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said
kembali mempengerusikan sidang Dewan Rakyat petang ini.
Katanya, langkah itu diambil selepas beliau diminta oleh Yang
Dipertuan Dewan Rakyat, Azhar Azizan Harun untuk menggalas jawatan Timbalan
Speaker buat sementara waktu.
“Saya nak maklum, saya telah diminta oleh Speaker di bawah
Peraturan Mesyuarat 7(3) untuk mempengerusikan mesyuarat bagi sementara waktu,”
kata Azalina selepas kembali menjadi Timbalan Speaker.
Azalina melepaskan jawatan Timbalan Speaker pada 23 Ogos lalu
atas faktor “moral, peribadi dan konflik politik”.
Kemunculan Azalina mempengerusikan sidang Dewan Rakyat petang
ini dipersoalkan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang) yang meminta penjelasan
mengenai peraturan dan kenapa pelantikan sementara itu tidak dimaklumkan lebih
awal.
Azalina berkata, Azhar akan membuat penjelasan berhubung
pelantikan sementara itu kemudian.
“Sementara sahaja, macam (kahwin) mut’ah sekejap sahaja, Isnin,
Selasa depan mungkin orang lain. (Pelantikan ini) di bawah kuasa (Peraturan
Mesyuarat) 7(3).”
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Mohd Rashid
Hasnon dalam kenyataan berasingan berkata, mengikut Peraturan Mesyuarat 7(3),
speaker boleh meminta seorang Ahli Parlimen mempengerusikan sidang Dewan
Rakyat.
“Yang Dipertua boleh meminta seorang ahli mempengerusikan
mesyuarat itu buat sementara dengan tidak payah diberitahu Majlis Mesyuarat dan
ahli yang mempengerusikan ini tetaplah terserah kepadanya semua kuasa Yang
Dipertua sehingga beliau kembali mengetuai mesyuarat.”
Pagi tadi, Azalina ketika membahaskan titah Yang di-Pertuan
Agong, memberi gambaran akan mempengerusikan sidang Dewan Rakyat pada petang
ini.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan
Undang-undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar membentangkan usul menangguhkan
pemilihan Timbalan Speaker baharu.
Katanya, penangguhan itu untuk kerajaan membuat pindaan
Perlembagaan bagi menambah satu lagi kerusi untuk jawatan Timbalan Speaker,
daripada dua ketika ini kepada tiga orang.
Beliau berkata, satu daripada tiga jawatan Timbalan Speaker itu
akan diisi wakil pembangkang.
Minggu lalu, kerajaan dilapor mencalonkan Setiausaha Agung Umno, Ahmad Maslan untuk mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan Azalina itu, sementara blok pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH).